Mohd Hilmie Hussin


HARI pertama Ramadan hari ini, menyaksikan terdapat cubaan umat Islam untuk ponteng puasa termasuk menghisap rokok.

Tinjauan Harian Metro bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) melakukan pemantauan di Pulau Gadong, Klebang, Bukit Rambai, Sungai Udang, Tanjung Kling dan Bukit Baru bermula 9 pagi.

Tinjauan di kedai kopi di Klebang mendapati, terdapat bau kuat asap rokok, namun tiada saksi boleh mengesahkan sekumpulan lelaki dewasa ponteng puasa.

Senario sama juga dapat dilihat di sebuah warung di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai apabila sekumpulan tiga lelaki menafikan mereka tidak berpuasa.

Sedangkan terdapat kotak rokok dan pemetik api di atas meja, manakala puntung rokok masih berasap seolah-olah baru dibuang ditemui di lantai warung itu.

Selain itu, terdapat warung diusahakan bukan Islam turut dikesan, menempatkan ruang makan rahsia di belakang premis mereka sebagai port kaki ponteng puasa.

Sebanyak 20 lokasi ‘panas’ di sekitar daerah Melaka Tengah dikenal pasti dan diperiksa, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Rahimin Bani berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan harian.

Katanya, pihaknya tidak mengeluarkan saman dan tiada tangkapan dibuat pada operasi hari pertama, hari ini.

“Pesalah (ponteng puasa) boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka), dan boleh didenda RM1,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya, bagi kesalahan pertama.

“Manakala bagi kesalahan kali kedua, mereka boleh dikenakan denda RM2,000 atau 12 bulan penjara, atau kedua-duanya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bercadang mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengkaji semula pengeluaran lesen pengusaha makanan yang enggan mematuhi larangan menjual makanan kepada umat Islam pada siang hari sepanjang Ramadan.

“Pemantauan ke atas peniaga bukan Islam juga akan dibuat bagi memastikan mereka tidak bersubahat dengan kaki ponteng puasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 5:56 PM
JABATAN Agama Islam Melaka (JAIM) ketika operasi menyerbu premis seawal jam 9 pagi setelah mendapati wujud tanda-tanda umat Islam yang ponteng puasa pada hari pertama Ramadan di Pulau Gadong, Klebang, Bukit Rambai, Sungai Udang, Tanjung Kling dan Bukit Baru. FOTO Mohd Hilmie Husin
JABATAN Agama Islam Melaka (JAIM) ketika operasi menyerbu premis seawal jam 9 pagi setelah mendapati wujud tanda-tanda umat Islam yang ponteng puasa pada hari pertama Ramadan di Pulau Gadong, Klebang, Bukit Rambai, Sungai Udang, Tanjung Kling dan Bukit Baru. FOTO Mohd Hilmie Husin