Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


MENTERI Besar Negeri Sembilan yang baharu, Aminuddin Harun memulakan tugas pada hari pertamanya di Pejabat Menteri Besar di Wisma Negeri, Seremban pada 2.40 petang, hari ini.

Ketibaan beliau diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Negeri Sembilan, Datuk Seri Mat Ali Hasan dan disambut kira-kira 100 kakitangan.

Kemudian, majlis bacaan doa turut diadakan bagi menyambut ketibaan Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu.

Sebaik tiba di pejabatnya di tingkat lima, Aminuddin melakukan simbolik mengetip masa untuk mengesahkan kedatangannya.

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun (kanan) ketika tiba di Pejabat Menteri Besar untuk memulakan tugas hari pertama di Wisma Negeri hari ini. FOTO Bernama
MENTERI Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun (kanan) ketika tiba di Pejabat Menteri Besar untuk memulakan tugas hari pertama di Wisma Negeri hari ini. FOTO Bernama

Sejurus selepas itu, Aminuddin yang juga Menteri Besar ke-11 diberi penerangan oleh Mat Ali mengenai pentadbiran kerajaan negeri.

Penerangan itu dibuat secara tertutup dan dihadiri beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan.

Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan negeri dan Pengerusi PKR negeri mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah kelmarin.

Pada PRU-14 yang lalu, PH menang 20 daripada 36 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 4:42 PM