TUANKU Syed Sirajuddin (kanan) bersama Tuanku Syed Faizuddin (tengah) berangkat sempena perasmian Perkampungan Sunnah 2018 di Masjid Alwi. Berangkat sama Raja Puan Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (belakang, kanan). FOTO Bernama
TUANKU Syed Sirajuddin (kanan) bersama Tuanku Syed Faizuddin (tengah) berangkat sempena perasmian Perkampungan Sunnah 2018 di Masjid Alwi. Berangkat sama Raja Puan Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (belakang, kanan). FOTO Bernama
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, memerlukan masa untuk memberi perkenan kepada calon Menteri Besar dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang diserahkan oleh Barisan Nasional (BN) kepada Istana Arau.

Tuanku Syed Sirajuddin meminta rakyat Perlis supaya bertenang kerana baginda memerlukan masa untuk mengenali calon yang diserahkan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Saya tahu rakyat tertunggu-tunggu siapa Menteri Besar Perlis. Tapi, bagaimana saya nak pilih Menteri Besar jika nama calon (wakil rakyat) yang dihantar kepada saya, saya tidak kenal langsung?

“Saya berharap rakyat negeri ini dapat bersabar dan janganlah risau kerana saya masih tidak lari lagi daripada perlembagaan dan undang-undang,” titah baginda pada Majlis Penutup Perkampungan Sunnah Siri 5 di Kangar, malam tadi.

Baginda juga meminta rakyat supaya tidak terlalu gopoh dan mempercayai berita palsu yang tersebar luas di media sosial mengenai krisis pemilihan menteri besar di negeri itu.

“Bukanlah satu perkara yang baru jika saya lewat memberi perkenan untuk melantik Menteri Besar baru kerana ia pernah berlaku sebelum ini.

“Dulu, pada 2008, saya ambil masa dua minggu untuk pilih Menteri Besar selepas mengenal dengan lebih dekat nama calon yang dihantar oleh parti yang menang,” titah baginda.

Hadir mencemar duli pada majlis itu adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Azlan Man, yang juga Menteri Besar Perlis penggal yang lalu.

Terdahulu, NSTP melaporkan kemungkinan wujud krisis pelantikan Menteri Besar meskipun BN Perlis memenangi majoriti 10 kerusi daripada keseluruhan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-14.

Shahidan mengumumkan BN bersetuju menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim, sebagai calon Menteri Besar Perlis yang baharu.

Bagaimanapun, pemilihan itu menjadi tanda tanya apabila Azlan mendakwa tidak tahu menahu mengenai pencalonan Ismail oleh pihak BN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 12:21 AM