WAN Muhammad Adnan Wan Yusoff, 17, yang cacat tangan kanan sejak lahir (kiri) bersama rakannya ketika Majlis Pra Tamat di Gelanggang Kelab Tomoi Bamboo Sri Kundor, di Kampung Pulau Kundor. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
WAN Muhammad Adnan Wan Yusoff, 17, yang cacat tangan kanan sejak lahir (kiri) bersama rakannya ketika Majlis Pra Tamat di Gelanggang Kelab Tomoi Bamboo Sri Kundor, di Kampung Pulau Kundor. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


MESKIPUN berstatus orang kurang upaya (OKU), ia tidak menjadi penghalang untuk remaja, Wan Muhammad Adnan Wan Yusoff mempelajari serta menyertai seni mempertahankan diri.

Wan Muhammad Adnan, 17, yang cacat tangan kanan sejak lahir mempunyai cita-cita tinggi menjadi peninju profesional.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang itu berkata, dia mula mempelajari sukan tomoi sejak Disember tahun lalu dan mendapat bimbingan daripada jurulatih Kelab Tomoi Bamboo PCB dan sudah dibawa membuat pertunjukan ke beberapa tempat di dalam negeri.

"Pada peringkat awal, saya mendapat sokongan daripada ayah dan adik beradik lain, namun ibu, Nor Asmaini Abd Rahman, 52, kurang bersetuju kerana beranggapan sukan bela diri ini berbahaya apatah lagi memikirkan keadaan tangan saya terutamanya apabila diserang pihak lawan.

"Namun selepas ibu melihat persembahan saya di gelanggang, dia akhirnya akur dengan minat dan kesungguhan saya dalam seni bina diri ini dan memberi sokongan untuk saya mengejar cita-cita," katanya ketika ditemui di Majlis Pra Tamat di Gelanggang Kelab Tomoi Bamboo Sri Kundor, di Kampung Pulau Kundur, Kota Bharu.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, pada mulanya dia berasa segan untuk mengikuti latihan tomoi dan hanya mampu melihat rakannya membuat latihan di gelanggang kerana ketika itu dia tidak mempunyai wang untuk membayar yuran selain menyedari kekurangan yang ada pada diri.

"Bagaimanapun, selepas juulatih melihat saya mempunyai kesungguhan untuk mempelajari tomoi, dia akhirnya mengambil saya menjadi anak murid dan saya sudah mempelajari beberapa teknik dan pukulan dalam seni bela diri ini.

"Biarpun latihannya mencabar dan memerlukan ketahanan diri selain berdepan dengan risiko kecederaan, ia bukan halangan untuk saya meneruskan latihan.

"Saya menjalani latihan pada waktu petang selepas waktu persekolahan dan memberi tumpuan sepenuhnya pada latihan pada musim cuti sekolah.

"Walaupun hanya pertunjukan untuk latihan, saya dan rakan bertarung dengan bersungguh-sungguh untuk mengalahkan lawan. Saya diberi jolokan 'Denan Jaka' oleh jurulatih yang membawa maksud pahlawan berbisa," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Tomoi Bamboo PCB , Muhammad Mat Yashim, berkata, sejak 2015 sehingga kini, dia sudah mengajar lebih 300 orang daripada pelbagai peringkat usia.

Beliau yang juga pesara tentera merangkap Naib Timbalan Presiden Tomoi Negeri berkata, sukan tomoi amat mementingkan disiplin, sekali gus membentuk peribadi pelatih agar lebih berhemah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 3:51 PM