Fazrik Kamarudin


TIADA penerbangan membabitkan Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) seperti yang dilaporkan oleh media.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang makluman berhubung perkara itu.

"Berdasarkan pemeriksaan kami, tiada penerbangan seperti yang tular di media sosial dan yang dilaporkan oleh media sebelum ini.

"Penerbangan tadi membabitkan individu lain, termasuk beberapa orang warga asing.

"Pihak polis bagaimanapun akan terus meningkatkan kawalan di kawasan ini (LTSAAS) memandangkan ia adalah kawasan keselamatan.

"Justeru saya meminta orang ramai yang tidak mempunyai sebarang urusan di sini supaya segera beredar," katanya dalam sidang media, di perkarangan LTSAAS, di Subang, hari ini.

Mengulas lanjut, Zani berkata, orang ramai yang bertindak untuk hadir berkumpul di kawasan lapangan terbang hanya akan menimbulkan masalah.

"Mereka yang hadir tanpa urusan menyukarkan penumpang yang dijadualkan menaiki pesawat di sini, jalan pun sebentar tadi sesak, ini semua boleh menyusahkan orang lain.

"Nasihat saya, jangan ikut pesanan yang tular di media sosial, negara kita ada undang-undang.

"Pihak kami tidak menerima sebarang arahan untuk menahan mana-mana individu, larangan untuk keluar negara adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.

Berita berkaitan

Polis kawal pintu 6 Terminal Skypark

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 5:15 PM