MUHYIDDIN meninggalkan perkarangan Istana Pasir Pelangi. FOTO Mohd Azren Jamaludin
MUHYIDDIN meninggalkan perkarangan Istana Pasir Pelangi. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Sabran Md Sani


PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, 11.48 pagi, hari ini.

Pertemuan itu bagi membincangkan pelantikan Menteri Besar baharu dan memohon perkenan pembentukan Kerajaan Negeri Johor di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan akan menyerahkan tiga nama sebagai calon Menteri Besar kepada Sultan Johor untuk dipertimbangkan.

Ia susulan titah Sultan Ibrahim supaya pakatan memberikan tiga nama untuk jawatan Menteri Besar Johor.

Terdahulu kenderaan rasmi yang membawa Muhyiddin dilihat memasuki Istana Pasir Pelangi pada 11.48 pagi.

Turut kelihatan Tunku Mahkota Johor (TMJ ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menaiki kenderaan rasmi memasuki Istana Pasir Pelangi.

Selepas selesai menyerahkan tiga nama calon Menteri Besar Johor baharu dan pembentukan Kerajaan Negeri Johor dalam pertemum kira-kira sejam, Muhyiddin Yassin meninggalkan perkarangan Istana Pasir Pelangi pada 12.55 tengah hari.

Ketika ditemui di luar istana, Muhyiddin sempat melambai tangan sebelum menyifatkan pertemuan itu berlangsung penuh mesra dan baik.

Muhyiddin menunaikan solat Jumaat di Masjid Pasir Pelangi sebelum hadir pada sidang media PH Johor di Senai pada 3 petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 2:05 PM