RUSLI (dua dari kiri) beramah mesra dengan penduduk.
RUSLI (dua dari kiri) beramah mesra dengan penduduk.
Muhammad Yusri Muzamir

Balik Pulau: Latar belakangnya sebagai bekas warga pendidik menjadikan calon muka baru Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas, Rusli Hashim, mudah didekati masyarakat setempat.

Rusli, 59, atau lebih mesra disapa Cikgu Li menjadikan pendidikan sebagai antara agenda utama perjuangannya untuk menarik perhatian pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Ini kerana kawasan yang saya tandingi ini mempunyai 14 sekolah yang saban tahun melahirkan ribuan permata warisan negara pada masa hadapan. Justeru, kualiti akademik bagi pelajar adalah sangat penting.

“Mereka perlu dicorak sebaiknya demi masa depan negara, selain saya juga berhasrat membendung isu ponteng dalam kalangan murid dan meletakkan sasaran 95 peratus kehadiran pelajar di sekolah,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, Rusli berkata, beliau berazam menyelesaikan isu setempat membabitkan kejadian banjir kilat dan masalah perumahan mampu milik, sekiranya diberi mandat pada PRU14.

“Dua isu ini adalah masalah utama yang menghantui penduduk di kawasan ini, selain perbincangan untuk mendapatkan penyelesaian bersama beberapa pihak berkaitan sudah pun dijalankan.

“Tidak dilupakan juga masalah dihadapi pengguna motosikal di Kampung Seronok dan penyelesaian dengan membina jejantas bernilai RM10 juta juga sedang diusahakan demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Sementara itu, calon BN Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, Projek 1Malaysia Youth City bakal dibangunkan di kawasan berkenaan sekiranya parti itu terus diberi mandat.

Katanya, tapak berkeluasan 80.94 hektar yang dilengkapi pelbagai kemudahan diperlukan golongan belia, termasuk hotel, mini stadium dan velodrom dibangunkan, seiring perkembangan dan keperluan semasa komuniti berkenaan.

“Rakyat Balik Pulau juga akan menikmati pembangunan rumah mampu milik yang lebih banyak, sekiranya mandat terus diberikan kepada BN pada pilihan raya kali ini.

“Selain itu, penduduk Balik Pulau juga bakal menikmati kemudahan jalan raya yang akan dinaiktaraf kepada empat lorong, sepanjang laluan dari Saujana Height ke Puspakom,” katanya yang juga Timbalan Menteri Kesihatan.

DR Hilmi mendengar luahan penduduk.
DR Hilmi mendengar luahan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 11:35 AM