GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI naik hantu apabila merosakkan motosikal milik bapa dan cermin tingkap bilik adiknya selepas berselisih faham dengan adiknya dalam kejadian di Manir, Kuala Terengganu, Isnin lalu.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, suspek berusia 42 tahun turut mengugut ahli keluarganya dengan menunjukkan sebilah pedang yang ada di dalam keretanya bagi menakutkan mereka.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, suspek yang tinggal di Batu Rakit, Kuala Nerus dikatakan datang menyerang rumah keluarganya kerana mahu mencari adik lelakinya.

Beliau berkata, suspek mula naik hantu apabila memecahkan enam cermin tingkap bilik adiknya menggunakan sebatang paip besi selepas gagal menemui adiknya di rumah orang tua mereka.

“Bukan itu sahaja, suspek menakutkan ahli keluarganya apabila membuka pintu kereta untuk menunjukkan pedang disorokkan di bawah tempat penumpang sebelum beredar.

“Malah, sehari sebelum kejadian itu, bapa suspek berusia 70 tahun memaklumkan suspek ada datang ke rumah dan mengamuk dengan memukul adiknya serta merosakkan motosikal miliknya,” katanya.

Idris berkata, bapa suspek yang tidak berada di rumah ketika kejadian bergegas pulang selepas dimaklumkan isterinya, namun dua anaknya sudah beredar.

Katanya, pemeriksaan mendapati motosikal miliknya pecah akibat dipukul suspek menggunakan sebatang kayu.

“Bapa suspek yang bimbang keselamatan diri dan keluarga mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Manir untuk tindakan lanjut.

“Susulan laporan dibuat, suspek ditahan di sebuah rumah di Tepoh pada 12.40 tengah malam (Selasa) dan dia kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 6:02 PM