DUA suspek (kiri sekali dan kanan sekali) direman tujuh hari selepas menawar suapan RM500 kepada pegawai polis bagi mengelak disiasat berkaitan dadah. - FOTO Zaman Huri Isa
DUA suspek (kiri sekali dan kanan sekali) direman tujuh hari selepas menawar suapan RM500 kepada pegawai polis bagi mengelak disiasat berkaitan dadah. - FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail


DUA lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan selepas menawar rasuah kepada Inspektor polis di Telemong, Kuala Krai, tengah malam tadi.

Dalam kejadian pada 12.05 tengah malam itu, peniaga berusia 32 tahun dan penganggur berusia 24 tahun itu ditahan selepas menawarkan suapan RM500 untuk mengelakkan disiasat kes berkaitan dadah.

Suspek yang ditahan polis kemudian diserahkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Moh Samsudin Yusoff, berkata pegawai polis yang sedang menjalankan Ops Tapis menahan sebuah kereta Honda Civic.

“Dua lelaki yang berada di dalam kereta itu kemudian ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan berkaitan dadah.

“Ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai untuk menjalani ujian saringan air kencing, seorang suspek menawarkan wang tunai RM500 untuk melepaskan mereka.

“Suspek kemudian ditahan dan diserahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini di Mahkamah Kota Bharu.

Menurutnya, perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen Tuan Ruzuaini Tuan Lah untuk siasatan lanjut kes mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 6:12 PM