ANTARA lokasi di sekitar Hulu Langat yang diserbu anggota penguat kuasa AADK dalam serbuan itu. -FOTO Ihsan AADK
ANTARA lokasi di sekitar Hulu Langat yang diserbu anggota penguat kuasa AADK dalam serbuan itu. -FOTO Ihsan AADK
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI bertindak agresif setiap kali dalam keadaan khayal sehingga mengugut mahu mencederakan penghuni lain di kawasan perumahan didiaminya di Hulu Langat.

Sikap agresif lelaki berusia 30 tahun berkenaan menyebabkan beberapa pihak tampil membuat aduan sebelum sepasukan anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat bersama Special Tactical Response and Investigation Key Enforces (STRIKE) membuat serbuan di kediamannya, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira 8 malam itu, lelaki terbabit didapati bersendirian di dalam rumah berkenaan memandangkan ahli keluarganya yang lain berada di Johor atas urusan kerja.

Ketua Pegawai AADK Daerah Hulu Langat Muhamad Ramlan Syed Ahamed berkata, berdasarkan keterangan daripada jiran lelaki itu, dia sering bertindak agresif ketika dalam keadaan khayal akibat pengambilan dadah.

“Ada jiran memaklumkan lelaki itu pernah mengugut mereka menggunakan senjata apabila tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara. Malah, dia bertindak memecahkan barangan di rumahnya sekiranya tidak mendapat apa yang dikehendaki.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bilik lelaki berkenaan menemui pelbagai senjata seperti parang, besi dan alatan tajam lain dipercayai digunakan untuk mengugut menyebabkan penghuni di kawasan perumahan itu bimbang terhadap keselamatan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhamad Ramlan berkata, lelaki itu yang didapati positif syabu antara 13 individu yang ditahan dalam serbuan di sekitar daerah ini, Bandar Baru Bangi, Semenyih dan Batu 9 bermula 5 petang kelmarin hingga 3 pagi semalam.

“Dalam serbuan itu, kami membuat ujian saringan air kencing terhadap 16 individu dan 13 daripada mereka yang berusia antara 28 hingga 47 tahun didapati positif dadah jenis Methaphetamine, syabu dan ganja.

“Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Hulu Langat untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan dadah diminta tampil dan memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 9:19 AM