Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Luqman Arif Abdul Karim

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak optimistik Barisan Nasional (BN) bakal mendapat mandat dan melakar kejayaan lebih baik pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengerusi BN berkata, kemenangan itu berupaya memberi cerminan positif terhadap imej Malaysia dalam menempuh perjalanan menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Saya tak nak buat sebarang jangkaan, Insya-Allah, firasat saya adalah kita optimistik untuk melakar kejayaan lebih baik pada PRU14.

“Kita tak nak kata bahawa BN akan merekodkan kemenangan besar atau sebagainya, tetapi Insya-Allah kita dapat mandat daripada rakyat.

“Ia akan mencerminkan kerajaan yang utuh dan memberi keyakinan, khususnya dalam pasaran global menerusi reaksi positif,” katanya pada sidang media khas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

NAJIB Razak.
NAJIB Razak.

Pasca kemenangan BN, Najib berkata, ia antara lain bakal merangsang bursa saham, pasaran ekuiti dan pelaburan, sekali gus memacu Malaysia ke arah pertumbuhan positif.

Katanya, kesan limpahan yang bakal dijana itu adalah hasil daripada kepercayaan dan mandat rakyat menjelang PRU14.

“Ini teras utama (agenda pembangunan) yang perlu dijadikan sandaran setiap calon bertanding sepanjang tempoh berkempen, berbanding sibuk menjaja fitnah dan hasutan kepada pengundi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 4:02 AM