SANIFAH (kiri) bersama Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Daerah Johor Bahru, Komander Haris Fadillah Abdullah menunjukkan peta lokasi kejadian bot nelayan yang dirompak di perairan Batu Pahat ketika sidang media di Pejabat APMM Johor, Johor Bahru. FOTO/HAIRUL ANUAR RAHIM
SANIFAH (kiri) bersama Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Daerah Johor Bahru, Komander Haris Fadillah Abdullah menunjukkan peta lokasi kejadian bot nelayan yang dirompak di perairan Batu Pahat ketika sidang media di Pejabat APMM Johor, Johor Bahru. FOTO/HAIRUL ANUAR RAHIM
Nurul Amanina Suhaini


LIMA lelaki bersenjata api merompak bot nelayan tempatan di perairan kira-kira 15 batu nautika Barat Daya Tanjung Laboh dekat Batu Pahat, petang semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, perompak dipercayai dari Indonesia meminta wang tebusan RM30,000 daripada tiga kru bot berusia 25 hingga 40 tahun ketika mereka sedang menangkap ikan di lokasi kira-kira satu batu nautika dari sempadan perairan negara.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan Kepten Maritim Sanifah Yusof, berkata selepas menerima laporan pada 7.30 malam tadi, bot peronda dari Pangkalan Maritim Batu Pahat bergegas ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, bot nelayan itu sudah dibawa lari ke perairan negara jiran sebelum pihak Maritim Malaysia terus memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan bot terbabit.

SANIFAH (kiri) menunjukkan peta lokasi kejadian bot nelayan yang dirompak. FOTO/HAIRUL ANUAR RAHIM
SANIFAH (kiri) menunjukkan peta lokasi kejadian bot nelayan yang dirompak. FOTO/HAIRUL ANUAR RAHIM

“Pada 1 pagi tadi, kami menerima maklumat daripada pemilik bot bahawa bot berkenaan sudah dilepaskan oleh perompak terbabit dan tiada kecederaan berlaku terhadap kru dan bot nelayan itu terus belayar memasuki Jeti Nelayan Pontian,” katanya. pada sidang media di Bilik Persidangan, Pejabat Maritim Malaysia Wilayah Selatan Johor Bahru, hari ini.

Sanifah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan rondaan di perairan sempadan negara bagi mengekang kejadian itu daripada berulang lagi.

“Semua nelayan dinasihatkan supaya menghubungi pihak kami sekiranya melihat bot mencurigakan berada di dalam perairan Malaysia dengan segera dan menghindari daripada memasuki negara jiran bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa negara jiran.

“Sebarang aduan dan laporan pelakuan jenayah, boleh menghubungi Maritim Malaysia Wilayah Selatan di talian 07-219 94 01 atau panggilan MERS 999,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 8:08 PM