PETIKAN rakaman CCTV menunjukkan kereta dinaiki suspek dilihat di Taman Universiti, Sungai Tangkas, Bangi, Sabtu lalu. FOTO Ihsan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Universiti Jalan Pintar, Sungai Tangkas, Bangi.
PETIKAN rakaman CCTV menunjukkan kereta dinaiki suspek dilihat di Taman Universiti, Sungai Tangkas, Bangi, Sabtu lalu. FOTO Ihsan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Universiti Jalan Pintar, Sungai Tangkas, Bangi.
Nurul Hidayah Bahaudin


BUAT 'risikan' lebih enam jam sebelum memecah masuk rumah mangsa. Itu taktik sekumpulan penjenayah yang memecah masuk sebuah rumah di Taman Universiti, Sungai Tangkas, Bangi, Sabtu lalu.

Malah, kelibat mereka meninjau di sekitar kawasan perumahan itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang membawa kepada penahanan sembilan individu termasuk seorang wanita berusia antara 20 hingga 47 tahun dalam serbuan berasingan di sekitar Kajang, Ahad lalu.

Pengerusi Penduduk Taman Universiti Jalan Pintar, Sungai Tangkas Idris Shafie berkata, berdasarkan rakaman CCTV di pintu masuk kedua perumahan itu, pihaknya mengenal pasti sebuah kereta yang dilihat melalui kawasan terbabit beberapa kali sejak 12 tengah malam.

“Kereta Proton Wira yang dinaiki tiga lelaki itu dilihat beberapa kali memasuki kawasan perumahan sebelum kali terakhir dilihat memberhentikan kenderaan di tepi jalan berhampiran sebuah kedai makan pada 6.30 pagi.

“Dua daripada mereka keluar dari kereta dan memasuki sebuah rumah sebelum keluar dengan masing-masing memakai topi keledar milik mangsa beberapa minit kemudian," katanya ketika ditemui, hari ini.

Idris berkata, pihaknya menyalurkan maklumat berkenaan kepada pihak polis sebelum dimaklumkan penahanan sembilan individu dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian pecah rumah dan samun di sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang sejak beberapa bulan lalu.

“Pemasangan CCTV di kawasan perumahan ini dibuat pada awal April lalu selepas mendapat peruntukan geran daripada Pertubuhan Pendaftar Syarikat (ROS) yang dianggarkan berjumlah RM10,000 bagi lapan kamera berkenaan.

“Walaupun baru saja dipasang, namun kemudahan CCTV yang dipasang di kawasan perumahan ini membantu pihak polis memberkas penjenayah sekali gus meningkatkan tahap keselamatan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berhubung kejadian pecah rumah dan samun di Bandar Baru Bangi dan Sungai Tangkas, Kajang pada Khamis serta Sabtu lalu.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, pihaknya melakukan serbuan berasingan di sekitar Kajang sebelum menahan sembilan individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah dan samun di daerah itu.

“Hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap semua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methaphetamin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Kejayaan tangkapan ini berjaya menyelesaikan dua kes yang dilaporkan dan membuktikan kerjasama orang ramai diperlukan dalam siasatan polis selari dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 8:36 PM