Hartini bersama trofi dan sijil penghargaan yang diterimanya. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Hartini bersama trofi dan sijil penghargaan yang diterimanya. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Saadiah Ismail

PENOLONG Pengarang Rencana Harian Metro (HM), Hartini Mohd Nawi menerima Anugerah Landskap Arkitek Malaysia (MLAA) Kategori Khas Media pada Malam Gala Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM) 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Lebih membanggakan, beliau turut menerima anugerah yang sama pada tahun lalu berdasarkan laporan seni bina landskap menerusi sisipan Dekotaman di akhbar HM.

Hartini berpuas hati kerana dapat menyalurkan maklumat dan ilmu berkaitan kepada pembaca sepanjang 10 tahun berkongsi laporan seni bina landskap.

Katanya, bukan setakat seni bina landskap dalam negara ini, tetapi turut mengetengahkan isu atau perkembangan semasa landskap di luar negara.

“Ada ketikanya, tidak semua orang boleh mendapat idea untuk dekorasi taman dan sebagainya, jadi menerusi sumbangan dalam laporan saya, sekurang-kurangnya dapat membantu menyelesaikan masalah berkaitan.

“Saya juga gembira dapat berkongsi ilmu pengetahuan yang jarang diketengahkan dan tidak semua orang tahu mengenainya,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah berkenaan.

Anugerah disampaikan oleh Presiden ILAM, Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohamad Mantek.

Pada majlis itu, seramai 67 penerima turut diraikan sempena sambutan Bulan Arkitek Landskap Sedunia yang diraikan pada setiap April.

Antara kategori anugerah diberikan adalah profesional, kontraktor landskap, pemaju dan syarikat berkaitan kerjaan, penyelidik kerajaan, kategori pelajar, penyertaan antarabangsa bagi kategori profesional dan pembekal landskap atau kategori pengeluar.

Sementara itu, Osman berkata, MLAA yang diwujudkan pada 2007 bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada hasil kerja industri seni bina landskap profesional.

“Sejak 10 tahun lalu, kita menyaksikan perubahan trend seni bina landskap dan berasa kagum apabila ia berjaya mengubah suasana, ruang dan persekitaran kehidupan kita.

”Trend baharu ini secara tidak langsung mencerminkan karakter dan identiti sesuatu lokasi itu.

”Bahkan ia dapat membuatkan kita merasai ‘memiliki’ yang mana semua orang juga boleh menikmati suasana berkenaan tanpa mengira usia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 11:01 PM