Umar Ariff dan Siti Azila Alias dan Hazwan Faisal Mohamad

Kuala Lumpur: “Prestasi hebat Bursa Malaysia mencatat paras tertinggi dalam sejarah semalam (kelmarin) membuktikan Malaysia bukan sebuah negara yang bankrap atau gagal,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Semalam, penanda aras pasaran saham tempatan, Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) mencatat paras tertinggi dalam sejarah, iaitu 1,895.18 mata.

Kali terakhir ia merekodkan paras tertinggi harian adalah 1,892.65 pada 8 Julai 2014.

Perdana Menteri berkata, prestasi hebat itu sebahagiannya disumbang oleh kemasukan bersih dana asing dalam pasaran ekuiti negara mencecah RM10.8 bilion pada tahun lalu menyebabkan pasaran ekuiti melonjak 9.5 peratus.

Malah, katanya, dalam tempoh hanya empat bulan ini, kemasukan bersih dana asing ke pasaran ekuiti negara bertambah sebanyak RM2.9 bilion sekali gus menyebabkan bursa saham melonjak 5.5 peratus pada tahun ini.

“Ini semua (sekali gus) menafikan dan menolak apa yang diuar-uarkan oleh pihak pembangkang kononnya Malaysia ini adalah negara bankrap atau failed state.

“Pencapaian kita ini bererti bukan (kita yang) perlu diselamatkan, tetapi kita perlu menyelamatkan negara kita daripada terjatuh kepada mereka yang tergolong dalam kumpulan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program MyApprenticeship di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

NAJIB  beramah mesra dengan pelajar ketika melawat  pameran selepas majlis perasmian Program   MyApprenticeship di  PWTC, Kuala Lumpur.
NAJIB beramah mesra dengan pelajar ketika melawat pameran selepas majlis perasmian Program MyApprenticeship di PWTC, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Najib berkata, selain pencapaian hebat ditunjukkan bursa saham, Forum Ekonomi Dunia (WEF) menerusi Laporan Daya Saing Global (GCR) bagi tahun 2017-2018 baru ini mengatakan bahawa Malaysia meningkat dua anak tangga kepada kedudukan ke-23 daripada 137 negara paling berdaya saing di dunia.

Selain itu, Bank Dunia juga menyemak semula unjuran KDNK negara sehingga tiga kali pada tahun lalu dengan terakhir pada 5.8 peratus, namun Malaysia masih dapat mengatasinya apabila mencatat kadar pertumbuhan 5.9 peratus.

“Dengan pencapaian hebat ini, rakyat boleh berbangga dengan pencapaian kerajaan yang bersifat menyeluruh dan kadar pertumbuhan ekonomi dapat dipacu pada kadar yang tinggi.

“Kita dapat melaksanakan projek infrarakyat yang sudah tentu akan menambahkan perhubungan. Apabila perhubungan kita menjadi lebih seamless dan bersepadu, produktiviti negara akan terus meningkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 4:05 AM