SEBAHAGIAN ketum yang dirampas.
SEBAHAGIAN ketum yang dirampas.
Nurul Hidayah Bahaudin


HANYA perlu buat tempahan melalui WhatsApp sebelum air ketum dihantar terus ke pintu rumah.

Itu antara aktiviti dua ‘chef’ air rebusan ketum yang mampu memperolehi pendapatan bersih sekitar RM10,000 sebulan hasil kegiatan haram itu.

Dua lelaki terbabit dikesan menjadikan rumah sewa mereka di Jalan Tembusu Kampung Melayu Subang, di sini, sebagai ‘dapur’ memproses air ketum sebelum dijual kepada pelanggan di sekitar daerah ini, sejak lapan bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar mereka selepas ditahan polis ketika serbuan di lokasi berkenaan, jam 8 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan S Somu berkata, hasil serbuan di rumah suspek berusia 24 dan 35 tahun itu menemui 80 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai hampir RM3,000.

“Dalam serbuan itu, kami merampas 16 plastik mengandungi lima kilogram daun ketum dan lima liter air ketum selain perkakas digunakan untuk memproses bahan berkenaan seperti periuk serta penimbang.

“Mereka dipercayai aktif menjual air ketum sejak Jun tahun lalu kepada pelanggan tetap di sekitar daerah ini yang membuat tempahan melalui panggilan telefon atau mesej,” katanya pada sidang media di Balai Polis Kampung Baru Subang, Sungai Buloh, hari ini.

Somu berkata, hasil soal siasat dilakukan mendapati suspek mendapat bekalan daripada seorang lelaki dari Teluk Intan, Perak.

“Pembekal akan membuat penghantaran sebanyak 80 kilogram ketum, dua kali setiap bulan. Bagi setiap bekalan, suspek boleh menghasilkan 640 bungkusan air ketum yang mengandungi satu liter setiap bungkusan.

“Mereka dianggarkan meraih keuntungan hampir RM10,000 sebulan hasil penjualan air ketuk berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek tiada rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencing dilakukan adalah negatif.

“Suspek yang masing-masing seorang penghantar surat dan penganggur itu direman empat hari sehingga 20 April bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

“Sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Mac lalu, kami berjaya menahan 37 individu di sekitar Sungai Buloh membabitkan 24 kes berkaitan air ketum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 9:57 PM