AZIH mengalu-alukan sambutan Hari Pekerja diadakan pada 1 Mei ini.
AZIH mengalu-alukan sambutan Hari Pekerja diadakan pada 1 Mei ini.
Meor Riduwan Meor Ahmad


SAMBUTAN Hari Pekerja 2018 peringkat kebangsaan bertemakan ‘Pekerja Peneraju Kecemerlangan Negara’ dijangka tetap diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 1 Mei depan.

Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengumumkan sambutan ditangguhkan ke satu tarikh lain bagi memberi laluan kepada pilihan raya.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda berkata, pihaknya mengalu-alukan majlis sambutan itu yang turut disambut di seluruh dunia pada tarikh sama.

Katanya, beliau difahamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersetuju supaya sambutan Hari Pekerja peringkat nasional diteruskan pada 1 Mei depan dan satu mesyuarat berkaitan akan diadakan dalam masa terdekat.

“Memang wajar sambutan diteruskan pada 1 Mei depan dan CUEPACS amat mengalu-alukannya.

“Ia bukan sekadar sambutan biasa, tapi pengiktirafan kepada pekerja yang menyumbang kepada pembangunan dan ekonomi negara dalam pelbagai sektor,” katanya dihubungi, hari ini.

Azih berkata, pihaknya turut berharap Najib akan hadir pada sambutan itu dan membawa khabar gembira buat pekerja.

Dalam perkembangan sama, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor turut mengesahkan pihaknya dihubungi KSM berhubung sambutan Hari Pekerja.

“KSM sebelum ini mengumumkan sambutan Hari Pekerja peringkat nasional ditangguhkan pada satu tarikh lain dari 1 Mei tanpa perbincangan dengan MTUC.

“MTUC merancang satu sambutan setelah menerima pengumuman penangguhan KSM melalui akhbar. Kemusykilan timbul apabila KSM memanggil untuk mengadakan semula sambutan 1 Mei.

“Sambutan 1 Mei adalah majlis sambutan tripartite (tiga pihak) yang dinaungi dan idea Perdana Menteri. Sambutan secara bersama ini amat baik dan mencetuskan semangat berpasukan untuk pembangunan minda dan modal insan,” katanya.

Abdul Halim berkata, di Malaysia, 1 Mei diiktiraf sebagai hari cuti umum yang tidak boleh dipinda dan MTUC bercadang mengemukakan beberapa isu kepada kerajaan termasuk projek rumah mampu milik pekerja swasta, projek rumah mampu milik kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta kerajaan dan pencarum.

“Kita akan mengutarakan pindaan Akta Kerja 1955 sejajar sebagai negara maju, pindaan Akta PERKESO dan Akta KWSP dan lapangan kerja berdaftar untuk semua tenaga kerja tempatan baru daripada semua kategori pendidikan dengan gaji minimum setahun dan bersijil Testimoni Pekerja Terlatih.

“Objektif cadangan itu untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing kerana dianggarkan tenaga baru semua kategori pendidikan yang masuk pasaran kerja ialah 500,000 setahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 9:10 PM