STATUS yang dimuat naik lelaki berkenaan yang dikongsikan di FB menggunakan nama ‘Group Anak Ikan’.
STATUS yang dimuat naik lelaki berkenaan yang dikongsikan di FB menggunakan nama ‘Group Anak Ikan’.
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN lelaki memuat naik status mengaku ‘menuai’ seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di Facebook (FB) mengundang kemarahan netizen hingga ada laporan polis dibuat terhadap lelaki terbabit.

Lelaki terbabit dikatakan memuat naik gambar bersama seorang remaja lelaki berkenaan dengan status beberapa hari lalu bertulis ‘€˜Dapat emergency call (panggilan kecemasan) dari budak ini. Minta balik Kuantan cepat. Maybe (mungkin) dia yakin dah boleh dituai kot. Yeahhh, tunggu abang,’.

Status berkenaan menyebabkan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara, Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

Menurut Pengerusi Komuniti Harapan Kita Fazriysham Kamran, 35, dia mendapat maklumat berhubung status itu melalui pengikutnya di FB ketika berada di rumahnya di Sri Damansara, Petaling Jaya, pada 10 pagi semalam.

Katanya, status dimuat naik lelaki terbabit meragukan apabila status itu dikongsikan di laman FB menggunakan nama ‘Group Anak Ikan’ yang dipercayai mengamalkan hubungan homoseksual (gay).

“Dalam status itu, ada unsur lucah, namun dalam unsur tersirat melalui perkataan ‘dituai’ yang membawa maksud hubungan seks. Adalah menjadi satu kesalahan apabila melakukan hubungan seks dengan remaja, apatah lagi kedua-duanya lelaki.

“Tindakan itu seolah-olah melambangkan lelaki berkenaan seorang pedofilia kerana menunjukkan minat untuk melakukan hubungan seks dengan individu bawah umur.

“Disebabkan itu, saya membuat laporan polis supaya tindakan sewajarnya diambil terhadap lelaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fazriysham berkata, hasil pemeriksaan dilakukan pihaknya mendapati status berkenaan sudah dipadamkan.

“Malah, akaun FB lelaki terbabit sudah ditutup,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 11 (1) (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 6:03 PM