MUHAMMAD Faiz. FOTO Arkib NSTP
MUHAMMAD Faiz. FOTO Arkib NSTP
Siti Sofia Md Nasir


PAKATAN pembangkang menggunakan pengaruh anak bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor apabila mengumumkan anak kelima tokoh itu, Muhammad Faiz Fadzil sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pencalonan Muhammad Faiz, 41, disahkan Pengarah Komunikasi Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Pulau Pinang, Mohd Faruk Abdul Rahman kepada NSTP, hari ini.

Muhammad Faiz yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAN dijangka berdepan calon PAS dan UMNO, di kerusi yang dimenangi wakil rakyat tunggal PAS, Datuk Salleh Man, pada pilihan raya lalu.

Mohd Faruk berkata, pemilihan Muhammad Faiz sebagai calon adalah kerana pengaruh Allahyarham bapanya yang masih kuat di Permatang Pasir, selain Muhammad Faiz sendiri kerap mengunjungi kawasan berkenaan.

“Di Permatang Pasir, ada sebuah dewan yang dinamakan sempena Allahyarham Datuk Fadzil Noor, dan kita tahu ramai pengundi terutamanya yang berumur 50 tahun ke atas masih mengenang jasa serta ketokohan Allahyarham dalam dunia politik.

“Permatang Pasir juga sebenarnya bukan kawasan asing kepada Muhammad Faiz dan kita yakin beliau mampu menewaskan lawannya di kerusi itu,” katanya.

Ini adalah penampilan sulung Muhammad Faiz, yang juga anak kelahiran Pendang, Kedah, sebagai calon dalam pilihan raya.

Selain Muhammad Faiz, PAN juga menampilkan jurutera, Azrul Mahathir Aziz sebagai calon di kerusi DUN Bayan Lepas, dan peguam, Yusri Isahak di DUN Sungai Dua.

Mac lalu, Ketua Setiausaha Sekretariat pakatan pembangkang, Datuk Saifuddin Abdullah, mengumumkan DAP kekal bertanding di 19 DUN, PKR (14), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) empat kerusi, manakala PAN hanya tiga kerusi DUN Pulau Pinang.

Sebelum ini, rundingan kerusi di negeri itu menghadapi jalan buntu sehingga terpaksa dirujuk ke Majlis Presiden pakatan pembangkang.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 10:21 PM