IDRIS (tengah) diiringi isteri Datin Seri Fadilah Abdullah bergambar bersama bayi terpilih menyertai Program Bayi Bandaraya sempena Ulang Tahun ke-15 Melaka Bandaraya Bersejarah di Hospital Melaka, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad
IDRIS (tengah) diiringi isteri Datin Seri Fadilah Abdullah bergambar bersama bayi terpilih menyertai Program Bayi Bandaraya sempena Ulang Tahun ke-15 Melaka Bandaraya Bersejarah di Hospital Melaka, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad
Nur Saliawati Salberi


“TERNYATA ujian dilalui ada hikmah dan rezeki tersembunyi di sebaliknya apabila anak menerima pelbagai inisiatif untuk jaminan masa depannya,” kata Lailatul Nor Mat Lazim, 38, ibu kepada bayi yang dilahirkan sempena Ulang Tahun Bandaraya Melaka Bersejarah, hari ini.

Seramai 10 bayi iaitu tujuh perempuan dan tiga lelaki yang dilahirkan di Hospital Melaka, selepas jam 12 tengah malam tadi terpilih menyertai Program Bayi Bandaraya sempena Ulang Tahun ke-15 Melaka Bandaraya Bersejarah.

Lailatul berkata, anak perempuan keempatnya itu sepatutnya dilahirkan pada 5 Mei depan, tetapi disebabkan dia mengalami komplikasi air ketuban kurang dan perkembangan bayi mempunyai sedikit masalah, doktor membuat keputusan untuk bayinya dilahirkan awal.

Katanya, tiga anaknya sebelum ini tiada masalah dan dilahirkan cukup bulan, tetapi untuk tidak mengambil sebarang risiko dia bersetuju melahirkan bayinya pada usia kandungan 36 minggu.

“Kelahiran kali ini sedikit mencabar walaupun didorong bersalin awal (induce) sejak pagi semalam, tetapi bayi hanya keluar pada 2 pagi tadi.

“Alhamdulillah, walaupun bayi hanya seberat 2.15 kilogram, dia sihat dan turut menerima rezeki tidak disangka sempena ulang tahun Melaka Bandaraya Bersejarah," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka, hari ini.

Terdahulu, pada program itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron menyampaikan sijil Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) berjumlah RM200, sijil pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M) bernilai RM50, hamper bernilai RM150 dan wang tunai kepada 10 bayi berkenaan.

Idris berkata, program kali ini adalah yang ketiga diadakan sejak 2016 dan hanya 20 bayi terawal dilahirkan pada 15 April akan dipilih.

“Sehingga 11 pagi tadi, seramai 10 bayi bandar raya selamat dilahirkan dan yang pertama dilahirkan pada 12.52 tengah malam.

“Bagi ADAM50 berjumlah RM200, itu adalah insentif dalam bentuk Amanah Saham Bumiputera yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 2:35 PM