KENDERAAN yang musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel di Jalan Bukit Kemuning, Seksyen 35, Shah Alam, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
KENDERAAN yang musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel di Jalan Bukit Kemuning, Seksyen 35, Shah Alam, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Siraj Mohd Zaini


BERANG akibat kereta miliknya lewat dibaiki, lelaki bertindak melempar botol berisi petrol hingga menyebabkan tiga kenderaan dalam sebuah bengkel di Jalan Bukit Kemuning, Seksyen 35, Shah Alam, musnah terbakar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian pada 4 pagi, tindakan suspek, 44, itu dilihat seorang saksi tidak jauh dari lokasi berkenaan.

“Gerakan mengesan suspek membuahkan hasil apabila dikesan di Jalan Bukit Kemuning dipercayai sedang memandu pulang ke rumahnya, pada 5.15 pagi tadi.

“Motif kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati kerana keretanya lewat dibaiki oleh bengkel berkenaan,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

“Kita akan mendapatkan tempoh reman ke atas suspek pagi esok,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam Azmel Kamarudin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 4.22 pagi.

“Pemeriksaan mendapati tiga kenderaan iaitu kereta jenis BMW dan Proton Wira Aeroback serta sebuah van Nissan Vanette musnah lebih 85 peratus dalam kebakaran itu.

“Jarak antara semua kenderaan itu kira-kira 24 meter dan kita mengambil masa selama 40 minit untuk memadamkan api,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 6:09 PM