ABDUL Hadi (dua kanan) melancarkan Manifesto Pas Melaka sambil diperhatikan Pesuruhjaya Pas negeri, Kamarudin Sidek (tiga kanan). FOTO Rasul Azli Samad
ABDUL Hadi (dua kanan) melancarkan Manifesto Pas Melaka sambil diperhatikan Pesuruhjaya Pas negeri, Kamarudin Sidek (tiga kanan). FOTO Rasul Azli Samad
Amir Mamat


PAS lebih berhati-hati memilih calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi mengelak berulangnya isu pengkhianatan dalam kalangan wakil rakyat mereka selepas pilihan raya.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata, antara langkah diambil ialah memperkasakan peraturan dalam lafaz baiah, termasuk sumpah taklik cerai talak tiga yang membabitkan calon PAS di Kelantan.

Berdasarkan keputusan Majlis Syura PAS, katanya, lafaz baiah akan diteruskan pada PRU-14 dengan penambahbaikan beberapa perkara bagi memastikan perjuangan parti diperkukuhkan lagi.

“Baiah adalah konsep kesetiaan terhadap dasar dan matlamat perjuangan parti, tidak khianat. Misalnya, jika seseorang wakil rakyat (PAS) tidak puas hati dengan parti, dia tidak boleh keluar (parti) kecuali letak jawatan dan bertanding pilihan raya semula.

“Walaupun jika ikut undang-undang tidak begitu, moralnya dia mesti kena letak jawatan. Sebab itulah kita mahu memperkasakan lagi sistem ini,” katanya selepas melancarkan Manifesto PAS Melaka di Bukit Katil di Melaka, malam tadi.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS negeri, Kamarudin Sedik.

Abdul Hadi berkata, parti itu kekal dengan pendirian untuk melaksanakan sumpah baiah terbabit meskipun ada yang menyifatkannya sudah ketinggalan zaman.

Katanya, setiap wakil rakyat PAS terikat dengan janji itu selagi mereka memegang jawatan terbabit, atau sanggup hidup dalam kemurkaan Allah SWT jika keluar parti tanpa mengikut syarat dipersetujui.

Untuk rekod, selepas PRU-13, sekurang-kurang 12 wakil rakyat PAS keluar daripada parti itu, termasuk menyertai Parti Amanah Negara (PAN) yang diketuai Mohamad Sabu.

Wakil rakyat terbaru berbuat demikian ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang menyertai PAN, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman pula menyertai PKR.

Sementara itu, mengulas mengenai senarai calon PAS pada PRU-14 pula, Abdul Hadi berkata, ia sudah dimuktamadkan dan akan diumumkan secara serentak di seluruh negara pada 19 April ini.

“Lebih 50 peratus calon adalah orang muda, wanita dan ahli bukan Islam, terdiri daripada kelab penyokong PAS,” katanya.

Beliau turut mengesahkan akan bertanding semula pada PRU kali ini, namun enggan menyatakan sama ada di kerusi DUN atau Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 12:03 PM