GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


WANITA yang sedang menjalani hukuman penjara selama 28 bulan kerana menipu dalam urusan pembelian motosikal, sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini, atas pertuduhan sama membabitkan kerugian RM29,290

Tertuduh, Norlaila Ibrahim, 50, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memperdayakan tujuh mangsa sehingga mendorong mereka menyerahkan wang antara RM50 hingga RM4,220 untuk membeli motosikal, sedangkan kenderaan itu tidak wujud.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi di Kuala Terengganu, antara Oktober 2016 hingga Mac 2017.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 23 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda.

Pada 2 Mac lalu, mahkamah sama menjatuhkan hukuman penjara 28 bulan terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menipu dua lelaki membabitkan kerugian RM15,550.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 6:25 PM