KERETA Perodua Alza mangsa yang dilarikan seorang lelaki berpakaian seragam lengkap seperti polis berjaya ditemui di Jalan Bakam, Miri. FOTO Ihsan PDRM
KERETA Perodua Alza mangsa yang dilarikan seorang lelaki berpakaian seragam lengkap seperti polis berjaya ditemui di Jalan Bakam, Miri. FOTO Ihsan PDRM
Kandau Sidi


HELAH lelaki berusia 33 tahun mengenakan seragam polis sebelum menyamun wanita warga Indonesia terbongkar selepas ditahan di Jalan Bakam, Miri, 18 jam selepas melakukan kegiatan jenayah itu.

Difahamkan, suspek yang melarikan diri menggunakan kereta Perodua Alza berwarna ungu ditahan kira-kira 9 pagi tadi, susulan laporan polis dibuat wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, hasil pemeriksaan lanjut berjaya menemui semula beg tangan mangsa mengandungi wang tunai RM5,000 milik mangsa yang disembunyikan dalam kenderaan itu.

"Kita turut menemui pakaian seragam polis yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah sama, juga disembunyikan dalam kenderaan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek direman bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan atas kesalahan merompak.

"Mangsa ialah seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit di Batu Niah. Wang RM5,000 itu adalah wang gaji yang hendak dihantar mangsa kepada keluarganya di Indonesia.

"Mangsa diragut sejurus mengambil wang gajinya apabila tiba-tiba didatangi suspek yang memaksanya menyerahkan beg tangannya. Bagaimanapun, mangsa enggan mengikut arahan suspek terbabit sebelum suspek merentap beg tangannya dan melarikan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 2:28 PM