GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Iskandar Ibrahim


MEWUJUDKAN 50,000 peluang pekerjaan tambahan menerusi Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) antara janji Barisan Nasional (BN) dalam manifestonya bagi menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Inisiatif itu membolehkan golongan muda menyertai 'TVET Bootcamp' selama tiga hingga enam bulan yang dirangka bersama bakal majikan.

Malah, BN berikrar menyediakan generasi muda berusia 30 tahun ke bawah dengan pekerjaan atau latihan untuk mendapat kerja dalam tempoh enam bulan.

Bagi mengatasi kebolehpasaran graduan menganggur pula, program Apprenticeship Malaysia akan diperkenalkan membabitkan lima industri rintis selain meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan melalui latihan amali berstruktur dan kemahiran insaniah kepada pelajar universiti awam (UA).

Bukan sahaja penuntut UA, pelajar lepasan Maahad Tahfiz akan diperkasakan melalui program keperantisan dan pemadanan latihan amali berstruktur di syarikat berasaskan industri halal.

Selain itu, belia yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam akan diperkasakan melalui Skim Rentas Kerjaya bersama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun.

BN juga berjanji memperkasakan peranan belia dalam pembangunan negara dengan mewujudkan aplikasi MyCadang yang idea dasar terbaik akan dipilih untuk pembentangan bulanan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri.

Manakala belia yang menceburi bidang keusahawanan terutama di luar bandar, BN akan memperluaskan Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) di setiap daerah.

Pembabitan belia dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan dipertingkatkan melalui penubuhan Majlis Belia PBT.

INFO

- Menambah jumlah Rumah Transit Belia 1Malaysia kemudahan kepada belia yang baru bekerja.

- Menganjurkan kelas seni dan program sukan untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah di Projek Perumahan Rakyat dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin.

- Menyediakan dana tahunan untuk setiap idea terbaik bagi 10 aspirasi utama dalam Kanvas Belia TN50.

- Memperhebat program MyLESEN dengan menyediakan subsidi untuk mengambil

lesen motosikal kelas B2.

- Melatih belia-belia Orang Asli dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menerajui industri hijau dan penjagaan alam sekitar.

- Mengurangkan beban untuk pasangan-pasangan muda yang ingin berkahwin.

- Membina portal dan aplikasi e-Riadah.

- Menaiktaraf kompleks Belia dan Sukan di seluruh negara.

- Menaiktaraf infrastruktur kompleks sukan mini di peringkat kejiranan.

- Memperluas program perantisan dalam syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLC).

- Mewujudkan peluang latihan digital di Pusat Internet 1Malaysia bagi menyediakan belia luar bandar untuk pekerjaan alaf baru.

- Meluaskan penggunaan YEN sebagai portal sehenti untuk usahawan muda.

- Meneraju misi pembelajaran sepanjang hayat melalui kelas Massive Open Online Course (MOOC).

- Memberi peluang kedua kepada bekas tahanan, bekas penagih dadah dan golongan wanita terlanjur melalui latihan TVET dan penubuhan Tabung Peluang Kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 9:52 PM