MOHAMMAD (tengah)  melihat kakitangannya melayani orang ramai.
MOHAMMAD (tengah) melihat kakitangannya melayani orang ramai.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuantan: Pengguna jalan raya yang memiliki saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak melepaskan peluang menyerbu kaunter pembayaran di seluruh negeri ini selepas jabatan itu menawarkan diskaun 70 peratus terhadap semua saman dan kompaun.

Tinjauan wartawan di kaunter pembayaran saman Ibu Pejabat JPJ negeri di Indera Mahkota, di sini, semalam, mendapati orang ramai mula membuat pembayaran saman seawal jam 8.30 pagi sebaik kaunter dibuka.

Rata-rata ditemui turut mengambil kesempatan menyemak saman dimiliki serta jumlah saman yang boleh menerima diskaun.

Hashim Samad, 50, berkata, langkah diumumkan kerajaan itu sememangnya tepat dan ditunggunya kerana tidak ramai masyarakat yang mampu membayar tunggakan saman masing-masing.

“Bila ada diskaun sudah tentu ramai orang ingin membayar. Saya yakin mereka tidak akan melepaskan peluang ini,” katanya.

Setakat jam 3 petang semalam, 60 saman diterima cawangan Ibu Pejabat JPJ negeri untuk pengurangan pembayaran.

Sementara itu, Pengarah JPJ negeri, Mohammad Abdullah berkata, orang ramai yang ingin membuat pembayaran saman boleh mengunjungi semua tujuh cawangan JPJ di negeri ini termasuk di cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuantan.

Katanya, kaunter pembayaran beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang setiap hari kecuali pada Sabtu dan Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 11:26 AM