DR Ahmad Zahid melakukan gimik perasmian sambil disaksikan (dari kiri) Pengerusi MATRADE Datuk Dr Noraini Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Mustapa dan Abdul Rahman.
DR Ahmad Zahid melakukan gimik perasmian sambil disaksikan (dari kiri) Pengerusi MATRADE Datuk Dr Noraini Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Mustapa dan Abdul Rahman.
Syed Umar Ariff dan Mohd Iskandar Ibrahim dan Hazwan Faisal Mohamad

Kuala Lumpur: Malaysia bakal menubuhkan Lembaga Pihak Berkuasa Halal Antarabangsa bagi menyeragamkan pengeluaran sijil halal dunia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dilaksanakan Majlis Halal Malaysia dengan menyatukan semua badan halal seluruh dunia.

“Sebagai peneraju industri halal global, Malaysia menerusi Majlis Halal Malaysia mempunyai perancangan besar untuk dunia antaranya menubuhkan Lembaga Pihak Berkuasa Halal Antarabangsa.

“Menerusi penubuhan itu, proses pengeluaran sijil halal dapat diseragamkan di peringkat dunia. Selain itu, kita juga dalam proses menubuhkan Akademi Penyelidikan Halal Antarabangsa yang pertama di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Halal Sedunia 2018 Kuala Lumpur di sini, semalam.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Persidangan dua hari bermula semalam bertemakan Hala Tuju Ekonomi Seterusnya? dianjurkan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) sempena Minggu Halal Sedunia 2018.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Malaysia sudah menyiapkan rangka kerja di bawah Pelan Induk 2.0 untuk pembangunan industri halal negara hingga 2030.

Katanya, pelan induk itu perlu dilaksanakan segera kerana banyak perkembangan pantas berlaku dalam industri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 11:21 AM