ORANG ramai yang memenuhi kaunter pembayaran saman  di Pejabat JPJ Kuala Lumpur,   semalam.
ORANG ramai yang memenuhi kaunter pembayaran saman di Pejabat JPJ Kuala Lumpur, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pengumuman pemberian diskaun sebanyak 70 peratus untuk bayaran saman dan kompaun dibuat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kelmarin mendorong orang ramai tampil membuat semakan.

Tinjauan wartawan NSTP di Pejabat JPJ Kuala Lumpur, Wangsa Maju di sini, semalam, mendapati mereka mengambil peluang membuat semakan dan pembayaran saman serta kompaun ditawarkan.

Pemandu teksi, Jafri Karim, 50, berkata, dia pergi ke pejabat JPJ untuk membuat semakan saman dan kompaun dikenakan terhadapnya selepas dimaklumkan berhubung pengumuman itu.

Katanya, dia mengambil peluang membayar saman dan kompaun yang mungkin dikenakan terhadapnya memandangkan ada tawaran diskaun seperti diumumkan agensi berkenaan.

“Sebagai pemandu teksi, saya mungkin ada melanggar peraturan lalu lintas terutama membabitkan kesalahan melebihi had laju. Sebaik dimaklumkan mengenai tawaran diskaun itu, saya membuat keputusan untuk menyemak jika ada saman dan kompaun dikenakan.

“Saya menyambut baik tawaran ini kerana boleh mengurangkan beban dengan mengurangkan bayaran berbanding kadar asal dikenakan memandangkan pendapatan sebagai pemandu teksi adalah rendah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi mengumumkan JPJ menawarkan diskaun 70 peratus terhadap semua saman dan kompaun dikeluarkan agensi itu selama sebulan bermula Isnin lalu sehingga 2 Mei ini sempena ulang tahun JPJ ke-72 di semua kaunter JPJ di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 6:19 AM