SKRIN mesin ATM pecah ditumbuk seorang lelaki. FOTO ihsan pembaca
SKRIN mesin ATM pecah ditumbuk seorang lelaki. FOTO ihsan pembaca
Hadzlihady Hassan


LELAKI cedera selepas menumbuk skrin mesin juruwang automatik (ATM) di bank di Jalan Air Itam, Georgetown, hari ini hanya kerana berang sistem tergendala.

Kejadian itu disedari anggota polis yang melakukan rondaan di bank terbabit pada 1.35 pagi.

Sumber berkata, anggota polis terbabit terkejut apabila melihat skrin mesin ATM berkenaan pecah dan ada tompokan darah di lantai bank.

“Susulan itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya mengesan suspek beberapa jam selepas itu ketika dia mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang kerana cedera di tangan.

“Hasil siasatan, suspek mengaku menumbuk skrin mesin ATM terbabit kerana geram berikutan sistem tergendala ketika dia memeriksa baki akaunnya,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati suspek yang berusia 36 tahun itu memiliki tiga rekod kesalahan berhubung kes dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 10:28 PM