KERAJAAN peruntuk RM25.62 bilion sejak 2012 melalui BR1M.
KERAJAAN peruntuk RM25.62 bilion sejak 2012 melalui BR1M.
Nazura Ngah


Kuala Lumpur: Langkah kerajaan melaksanakan Program Transformasi Negara (NTP) melalui pelbagai usaha, menjurus kepada mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup rakyat di negara ini.

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang menjadi inisiatif utama sebagai bantuan segera itu berjaya diagihkan kepada lebih tujuh juta individu dan keluarga, membabitkan peruntukan RM25.62 bilion sejak 2012. Tahun lalu saja, kerajaan membelanjakan RM6.31 bilion.

Bantuan segera itu membantu menampung kos bagi membiayai bil bulanan, barangan runcit dan perbelanjaan persekolahan.

Kerajaan melaksanakan penguatkuasaan dan pematuhan lebih ketat untuk mengurangkan rasuah secara berterusan di negara ini, selain memperbaiki kedudukan Indeks Persepsi Rasuah.

Tahun lalu, Malaysia berada di kedudukan ke-62 daripada 176 negara di seluruh dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah.

Usaha kerajaan juga diaktifkan dari sudut pengukuhan undang-undang bagi mengekang amalan rasuah menerusi penggubalan Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik bagi memastikan integriti dalam sistem politik.

Di samping itu, 19 hakim Mahkamah Khas Rayuan dilatih tahun lalu untuk meningkatkan pemahaman yang menyeluruh mengenai peruntukan undang-undang berkenaan rasuah.

Pelaksanaan NTP juga menyaksikan jenayah indeks negara berkurang sebanyak 53 peratus. Tinjauan Petunjuk Persepsi Jenayah (PCI) di Kuala Lumpur mendapati persepsi rasa takut orang awam terhadap kemungkinan menjadi mangsa jenayah menurun kepada 31 peratus tahun lalu berbanding 61 peratus tahun sebelumnya.

Inisiatif kerajaan dalam memastikan pendidikan berkualiti menerusi NTP menyaksikan peningkatan kadar literasi dan numerasi kebangsaan dalam kalangan murid Tahun Tiga, tahun lalu.

Literasi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ketika ini masing-masing berada pada kadar 98.3 peratus dan 95.7 peratus, manakala kadar numerasi berada pada tahap 98.8 peratus.

Program Dwibahasa (DLP) dan Program Imersif Tinggi (HIP) yang diperkenalkan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar terus mencatatkan hasil yang positif.

Sementara itu, menerusi inisiatif meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah, sehingga 2016, kadar kemiskinan menurun kepada 0.4 peratus, hasil daripada program seperti 1AZAM.

Ia berjaya meningkatkan pendapatan sekurang-kurangnya sebanyak RM300 bagi 100,420 individu atau 91 peratus daripada jumlah peserta yang dipantau.

Bilangan peserta 1AZAM yang dikategorikan sebagai miskin, menurun daripada 89.17 peratus pada 2009 kepada 58.69 peratus pada 2016.

Dalam pada itu, 2017 dianggap tahun amat penting bagi pengangkutan awam bandar di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.

Pelancaran Laluan 1 Transit Aliran Massa (MRT) pada 17 Julai tahun lalu adalah permulaan era baru dalam sistem pengangkutan bandar di negara ini.

MRT menyumbang kepada peningkatan jumlah purata penumpang harian rel dan bas sebanyak 1.21 juta penumpang.
MRT menyumbang kepada peningkatan jumlah purata penumpang harian rel dan bas sebanyak 1.21 juta penumpang.

Pelancaran MRT menyumbang kepada peningkatan jumlah purata penumpang harian rel dan bas sebanyak 1.21 juta penumpang berbanding 1.16 juta penumpang pada tahun sebelumnya.

Inisiatif yang dilaksanakan menerusi NTP menyaksikan Indeks Kepuasan Pelanggan bertambah baik daripada 84 peratus pada 2016 kepada 90 peratus tahun lalu.

Rangkaian pengangkutan awam yang baik boleh memanfaatkan pertumbuhan ekonomi, peningkatan penduduk dan pelbagai keperluan aktiviti bandar.

Permintaan untuk pengangkutan awam dijangka akan meningkat apabila Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

NKRA dalam bidang mempertingkatkan pembangunan luar membolehkan 6.8 juta penduduk mendapat manfaat daripada inisiatif pembangunan luar bandar dari 2010 hingga tahun lalu.

Inisiatif yang dilaksanakan merangkumi penyediaan jalan raya, kawasan perumahan baharu, bekalan elektrik dan air serta akses kepada peluang untuk menjana pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 3:52 AM