TERDAPAT peluru dalam satu daripada bilik di rumah mangsa. FOTO Syaherah Mustafa
TERDAPAT peluru dalam satu daripada bilik di rumah mangsa. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


EMPAT beranak terkejut selepas rumah mereka dihujani lebih lapan das tembakan oleh individu tidak dikenali di Kampung Kerdap, Rantau Panjang, awal pagi tadi.

Anak kedua keluarga terbabit, Syazwani Zulkifli, 22, berkata, ketika kejadian dia bersama ibu, bapa dan adiknya sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan dentuman bunyi yang kuat selain cermin tingkap pecah.

Katanya, kejadian pada 2.56 pagi itu adalah kali ketiga berlaku selepas terdapat dua kali tembakan di sekitar kawasan rumah pada bulan yang sama.

"Tembakan itu berlaku dengan pantas kurang lima minit saja, dan kami sekeluarga tidak mampu bangun mahupun bergerak kerana terlalu takut.

"Pagi tadi kami mendapati dinding rumah dan langsir berlubang selain terdapat peluru di bilik adik yang hampir terkena tembakan sebelum membuat laporan polis.

"Saya sendiri tidak tahu apa motif kejadian kerana kami sekeluarga tidak pernah berhutang dan tiada musuh," katanya yang masih trauma dengan kejadian yang menimpa dia sekeluarga.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner, Abdullah Mohammad Piah, mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian 12.30 tengah hari tadi.

Katanya, pihaknya menemui empat peluru berukuran 9 milimeter (mm) dan siasatan akan dilakukan bagi mengetahui motif tembakan itu memandangkan kejadian yang sama sudah berlaku sebelum ini.

"Kita akan mengambil kira daripada pelbagai sudut memandangkan tempat kejadian berhampiran dengan sungai dan kawasan sempadan.

"Kes ini akan disiasat di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan. Saya juga menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat untuk membuat laporan di balai polis berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 6:40 PM