Najib dan  Rosmah  melihat model pelan Bangunan Permata Kurnia Zon Selatan di Taman Rumahku Syurgaku, Bukit Katil.
Najib dan Rosmah melihat model pelan Bangunan Permata Kurnia Zon Selatan di Taman Rumahku Syurgaku, Bukit Katil.
Badrul Hizar Ab JabarHidir ReduanFairuz ZaidanArfa YunusMohd Hilmie Hussin dan Nur Saliawati Salberi dan Amir Mamat

Melaka: Perkhidmatan intervensi awal pendidikan kepada kanak-kanak autisme mampu menghindar golongan itu menjadi individu bermasalah pada masa depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kanak-kanak autisme mempunyai kebolehan, potensi tersendiri serta boleh berjaya jika dibentuk dari peringkat awal melalui Pusat PERMATA Kurnia.

Katanya, walaupun autisme tidak mempunyai penawar untuk menyembuhkan sepenuhnya, sekurang-kurangnya kesan penyakit itu dapat dikurangkan.

“Kesannya dapat dikurangkan bukan saja kepada individu, tetapi masyarakat sehingga seorang kanak-kanak mencapai tahap sepatutnya direalisasikan.

“Saya penyokong kuat program PERMATA Kurnia ini kerana konsepnya sangat baik. Segala punca masalah masyarakat hari ini jika dibuat intervensi peringkat awal, maka ia boleh dielakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek Pusat PERMATA Kurnia Zon Selatan, di Rumahku Syurgaku (RKSK) Bukit Katil, di sini, semalam.

Melaka menjadi lokasi kedua penubuhan Pusat PERMATA Kurnia dengan kos RM5 juta, sekali gus dapat memberi manfaat kepada 250 kanak-kanak autisme dari tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri merangkap Penaung Program PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Terdahulu, Rosmah dalam ucapannya berkata, pembinaan pusat itu dijangka siap sepenuhnya pada April 2019, sekali gus bakal memberikan perkhidmatan terbaik bagi menyediakan kanak-kanak autisme menjalani kehidupan pada masa akan datang.

“Saya terharu dengan kerjasama penuh diberikan pelbagai agensi kerajaan dalam menjayakan projek ini, malah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersetuju memberikan tapak rumah Taman RKSK untuk dijadikan Pusat PERMATA Kurnia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 3:17 AM