SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu termasuk dua orang bergelar Datuk, hari ini bagi membantu siasatan isu penjualan tanah milik kerajaan Selangor di Mukim Ijok.

Semua mereka yang berusia antara 34 tahun dan 84 tahun itu ditahan di Petaling Jaya, Selangor dan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, di antara jam 12.45 tengah hari dan 4 petang, hari ini.

Antara yang ditahan adalah bapa dan anak lelaki.

Penjualan tanah seluas 880 hektar kepada syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion itu menimbulkan kontroversi dan dipersoalkan pelbagai pihak, termasuk peneroka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, siasatan SPRM merangkumi penerimaan bayaran menerusi transaksi wang kira-kira RM200 juta kepada lima syarikat iaitu masing-masing menerima lebih kurang RM68 juta, RM62 juta, RM42 juta, RM16.5 juta dan RM8.5 juta.

Beliau berkata, SPRM turut merampas beberapa dokumen penting daripada tiga syarikat berkaitan bagi membantu siasatan.

“SPRM sedang mengesan seorang lagi pengarah syarikat bergelar Datuk yang dipercayai berada di luar negara.

“Pasukan penyiasat sudah membeku sembilan akaun peribadi dan syarikat bernilai RM39 juta milik semua suspek yang ditahan bagi membantu siasatan,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 5:54 PM