ANGGOTA Jabatan Perhutanan Negeri Kedah memeriksa sebahagian 147 tual balak yang dirampas di Hutan Simpan Ulu Muda, Sik. FOTO Ihsan JPNK
ANGGOTA Jabatan Perhutanan Negeri Kedah memeriksa sebahagian 147 tual balak yang dirampas di Hutan Simpan Ulu Muda, Sik. FOTO Ihsan JPNK
Noorazura Abdul Rahman


JABATAN Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) merampas 147 tual balak bernilai kira-kira RM200,000 di Kompartmen 36 di Hutan Simpan Kekal Ulu Muda, Sik, Isnin lalu.

Pengarahnya Datuk Mohd Nasir Abu Hasan berkata, rampasan itu dilakukan dalam operasi diketuai Pegawai Hutan Daerah Mohd Faisal Nasarudin bersama lima anggota antara 9 pagi hingga 6 petang.

Katanya, turut dirampas lima buah jentera yang digunakan untuk kegiatan haram dipercayai aktif sejak minggu lalu.

“Kegiatan itu disyaki dilakukan oleh pelesen yang menebang dan mengambil balak di luar kawasan lesen yang dibenarkan.

“Antara balak yang dirampas adalah merbau, meranti dan keruing yang mempunyai nilai sangat tinggi dianggarkan RM200,000,"katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Menurutnya, pihaknya sudah mengarahkan syarikat itu menghentikan operasi untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Sekyen 15 Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian 1985).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 7:19 PM