SESI perbincangan beberapa pertubuhan berbaiah mengenai isu Ayahanda Piang.
SESI perbincangan beberapa pertubuhan berbaiah mengenai isu Ayahanda Piang.
HM Digital

Kuala Lumpur: Penjualan gelaran, watikah dan selempang pada harga RM200 hingga RM300 yang tidak mendapat restu pertubuhan berbaiah merosakkan imej institusi Ayahanda hingga menimbulkan risiko wujudnya Ayahanda Piang di negara ini.

Perkara itu diakui Yang di-Pertua Lembaga Penasihat Majlis Ayahanda Negeri Selangor, Nordin Zainal Abidin yang kesal dengan kewujudan 15 Ayahanda palsu ini sejak lebih sebulan lalu.

Beliau berkata, individu berkenaan tidak diiktiraf sebagai Ayahanda kerana mereka tidak mengikut prosedur lantikan seperti yang diamalkan generasi terdahulu sejak puluhan tahun lalu.

Mengulas mengenai perkara itu Nordin berkata, pihaknya mengesan ada individu sanggup membayar harga tertentu untuk mendapatkan watikah, selempang serta gelaran seperti Abang, Kekanda, Ayahanda dan Tok Ayah atas kepentingan sendiri.

“Kita perlu beri kesedaran kepada Ayahanda lain supaya jangan mudah terpengaruh dengan tawaran untuk mendapatkan gelaran itu kerana ia bukan sesuatu yang boleh dinilaikan dengan wang ringgit.

“Selempang ini pun sebenarnya tak ada, saya dan beberapa orang lama tidak pernah dengar mengenai perkara itu. Ayahanda dan ahli pertubuhan berbaiah yang baru tidak tahu prosedur serta istilah perjuangan. Sebab itu wujud golongan macam ini,” katanya pada sesi perbincangan bersama beberapa pertubuhan berbaiah di ibu negara di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS) Datuk Abdul Halim Ali, Pengasas Pertubuhan Antara Negeri Cetuskan Organisasi (EPANCO) Ariffin Abu Bakar dan Pengerusi Majlis Ayahanda Negeri Selangor, Ibrahim Khatib.

Pertemuan itu diadakan susulan laporan muka depan akhbar ini Isnin lalu mengenai kewujudan individu menyamar sebagai Ayahanda yang berlagak samseng dan membuat kacau di beberapa kawasan dan terbabit dalam aktiviti peras ugut hingga mengganggu ketenteraman awam.

Nordin berkata, pihaknya akan menjalankan program pemutihan dalam kalangan Ayahanda bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam aktiviti bertentangan dengan undang-undang negara.

Dia yang juga bergelar Ayahanda berkata, penawaran gelaran itu kepada pihak diluar pertubuhan dinaunginya menyebabkan pelantikan itu tidak dapat dikawal dan melanggar tradisi seperti diamalkan sejak sekian lama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 9:08 AM