PEKERJA warga asing yang diperiksa dalam operasi di tapak pembinaan di Bandar Baru Permyjaya, Miri, semalam. FOTO Mohd Rizal Abdullah
PEKERJA warga asing yang diperiksa dalam operasi di tapak pembinaan di Bandar Baru Permyjaya, Miri, semalam. FOTO Mohd Rizal Abdullah
Mohd Rizal Abdullah


SEKUMPULAN buruh warga asing ditahan dalam operasi bersepadu Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri dan Jabatan Imigresen Miri di sebuah tapak pembinaan di Bandar Baru Permyjaya, Miri, semalam.

Dalam serbuan pada 10 pagi itu, seramai 40 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia berusia 25 hingga 40 tahun ditahan kerana tiada dokumen perjalanan dan melanggar peraturan imigresen.

Pegawai Pemerintah Batalion 12 PGA Miri Superintendan Tan Hiap Seng berkata, dua lelaki warga tempatan berusia 27 dan 31 turut ditahan kerana dipercayai menjadi 'pelindung' kepada pekerja terbabit.

Menurutnya, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam berkaitan projek di tapak pembinaan pusat perubatan swasta itu yang menggunakan khidmat pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Semua yang ditahan dipercayai sudah bekerja di tapak pembinaan itu sejak beberapa bulan lalu.

"Ketika operasi, semua PATI sedang bekerja dan tidak berlaku sebarang kekecohan," katanya.

Katanya, seramai 20 lelaki dan seorang wanita ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 manakala selebihnya ditahan mengikut Peraturan 39(b) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 6:00 PM