SANUSI (baju putih) diiringi polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dua tuduhan menceroboh Istana Bukit Serene tanpa kebenaran dan melakukan kerosakan di garaj kereta istana. FOTO Hairul Anuar Rahim
SANUSI (baju putih) diiringi polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dua tuduhan menceroboh Istana Bukit Serene tanpa kebenaran dan melakukan kerosakan di garaj kereta istana. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein dan Farah Dinah Hassan


PENGANGGUR penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas dua tuduhan menceroboh kawasan Istana Bukit Serene tanpa kebenaran dan melakukan kerosakan di garaj kereta istana, awal bulan ini.

Tertuduh, Sanusi Mohammad, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu selepas ia dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa berada dalam kawasan istana berkenaan tanpa memiliki pas, kad atau permit yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang yang diberikan kuasa di bawah perintah kawasan larangan.

Bagi perbuatan dilakukan tertuduh jam 12 tengah hari, pada 1 Mac lalu itu, dia didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Kawasan Larangan 1959 (Akta 298) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 7 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan di garaj kereta istana berkenaan bernilai kira-kira RM20,000 pada masa dan tarikh yang sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah memasukkan dadah amphetamine dan methamphetamine di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada 5 petang, 1 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali tidak menawarkan sebarang ikat jamin dengan merujuk Seksyen 8 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 yang mana kesalahan di bawah akta berkenaan tidak boleh dijamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon dibenarkan ikat jamin kerana dia mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport ke mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran seminggu sekali.

Mahkamah turut menetapkan sebutan semula pada 2 April ini.

Bagaimanapun, tertuduh gagal menjelaskan ikat jamin berkenaan dan dibawa ke Pusat Reman Ulu Choh, Pontian.

Berita berkaitan

'Gagal curi Ferrari Sultan Johor'

'Reman lelaki ceroboh Istana Bukit Serene disambung'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 8:55 PM