Gunung Kinabalu adalah pusat tumpuan pendaki-pendaki seluruh dunia. (Gambar kecil) Masidi.
Gunung Kinabalu adalah pusat tumpuan pendaki-pendaki seluruh dunia. (Gambar kecil) Masidi.
Mohd Izham Unnip Abdullah

LALUAN pendakian ke puncak Gunung Kinabalu yang ditutup hari ini berikutan gempa bumi berukuran 5.2 skala Richter malam tadi, akan dibuka semula pagi esok.

Perkara itu diumumkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, berdasarkan keadaan laluan itu yang didapati selamat digunakan selepas pemeriksaan hari ini.

"Satu pasukan peninjau seramai 47 orang selesai membuat pemeriksaan bermula dari Pondok Timpohon (permulaan pendakian) hingga ke puncak Low (Kilometer 8.72).

"Berdasarkan tinjauan mereka didapati tiada kerosakan besar, hanya kerosakan kecil dan ia sudah dibaiki. Laluan pendakian gunung selamat untuk digunakan, manakala bangunan penginapan di Panalaban tidak terjejas.

"Dengan ini, setelah perbincangan teliti dan muafakat antara pihak yang terbabit dalam tinjauan itu, semua sebulat suara mengesyorkan kepada saya untuk mengisytiharkan laluan pendakian selamat digunakan dan dibuka semula kepada orang ramai mulai esok," katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Pasukan tinjauan itu, katanya, terdiri daripada anggota Taman-Taman Sabah (TTS), malim gunung, Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR), porter dan kakitangan Sabah Sanctuary Lodge (SSL) serta Mountain Torq.

Beliau berkata, Pengarah TTS, Dr Jamili Nais bersama sembilan kakitangan TTS, MOSAR dan SSL akan bermalam di Panalaban sebagai langkah tambahan memastikan keadaan kembali selamat dan larangan sementara mendaki Gunung Kinabalu boleh ditarik balik semula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 6:12 PM