AHMAD Zahid (tengah) bergambar bersama pemenang Cabutan Wow SSPN1M-i pada majlis Sambutan 20 Tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hari ini. FOTO Aswadi Alias
AHMAD Zahid (tengah) bergambar bersama pemenang Cabutan Wow SSPN1M-i pada majlis Sambutan 20 Tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hari ini. FOTO Aswadi Alias
Meor Riduwan Meor Ahmad dan Hidir Reduan


TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua peminjam Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) supaya bertanggungjawab menyelesaikan pinjaman mereka.

Menurutnya, tindakan peminjam yang enggan membayar balik pinjaman sekali gus menafikan hak pelajar lain yang layak menyambung pelajaran ke menara gading tetapi berdepan masalah kewangan untuk mendapat pinjaman PTPTN.

Katanya, berdasarkan rekod PTPTN lebih 300,000 atau 29 peratus peminjam belum pernah membuat bayaran balik, sekali gus menyokong usaha dilakukan bagi mengutip semula pinjaman termasuk menyenarai hitamkan nama mereka serta larangan ke luar negara.

"Saya beri sokongan supaya ambil tindakan undang-undang terhadap peminjam.

"Mana ada agama yang mengajar tidak payah bayar hutang. Kita (kerajaan) sering disalah-tafsir dalam kempen-kempen (pembangkang) untuk menanamkan kebencian kepada rakyat tidak perlu bayar hutang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Sambutan 20 Tahun PTPTN di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Pengerusi PTPTN Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Eksekutif PTPTN Wan Ahmad Wan Yussof.

Katanya, beliau memuji pelbagai usaha dan tindakan proaktif PTPTN sehingga berjaya meningkatkan bayaran balik pinjaman daripada 81 peratus peminjam dengan kutipan terkini RM3.98 bilion pada 2017 berbanding tahun sebelumnya RM3.43 bilion.

Sementara itu, pada majlis itu, beliau melancarkan inisiatif baru PTPTN dalam membantu peminjam yang belum pernah membuat bayaran balik untuk mencari kerja selepas tamat belajar melalui program JobMatching PTPTN.

Melalui program itu, PTPTN bekerjasama dengan syarikat Prestariang Systems Bhd yang menyediakan portal untuk peminjam memohon jawatan kosong yang ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 7:50 PM