NORASHIKIN (belakang tengah)  bersama barisan artis yang akan memeriahkan Program Temu Duga Terbuka SL1M  Peringkat Negeri Sabah 2018.
NORASHIKIN (belakang tengah) bersama barisan artis yang akan memeriahkan Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Negeri Sabah 2018.
Hamizah Badiran

Seri Kembangan: Pencari kerja dan graduan terutama di Sabah yang masih mencari pekerjaan harus mengunjungi Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Negeri Sabah 2018 di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu pada 17 dan 18 Mac ini.

Program dua hari bermula jam 7 pagi hingga 6 petang itu menawarkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang pendidikan.

Program akan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Dikelolakan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dengan sokongan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta, SL1M bertujuan membantu meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja dan graduan dengan pendedahan ilmu, kemahiran serta pengalaman bekerja.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, berkata program kerjaya dengan pameran dan temu duga secara langsung seperti ini membolehkan pencari kerja mendapat maklumat secara terus daripada organisasi yang mengambil bahagian.

“Kami di SL1M menyediakan peluang berharga ini. Justeru, datanglah dan bantu diri sendiri untuk maju serta berjaya.

“Antara syarikat yang menyertai program kali ini ialah Maybank, UMW Holdings Berhad, Boustead Holdings Berhad, Sime Darby Industrial, Petronas dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui di sidang media pengumuman Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Negeri Sabah 2018 di sini.

Penganjur juga membawa duta SL1M, Faizal Tahir dan Kumpulan Zero turun ke Kota Kinabalu bersama barisan artis popular, Marsha Milan, Stacy, Ara Johari, Farish Aziz, Andi Bernadee dan Samantha Miles.

Mereka akan memberi kata-kata semangat serta motivasi selain menghiburkan pengunjung pada program berkenaan.

Terdahulu, Norashikin turut mengumumkan elaun bulanan SL1M yang dinaikkan kepada RM2,000 daripada RM1,500 berkuat kuasa 1 Mac lalu.

Katanya, elaun itu wajib diberikan kepada semua pelatih yang sedang dan bakal mengikuti program SL1M.

“Sekiranya pihak syarikat gagal membayar elaun ditetapkan, pelatih boleh membuat aduan kepada sekretariat SL1M dan tindakan akan diambil kepada syarikat berkenaan seperti tender kerajaan yang mereka peroleh akan ditarik balik,” katanya.

Antara syarikat pertama yang bersetuju dan menguatkuasakan jumlah elaun terbaru itu ialah Pembinaan Jaya Zira Sdn Bhd.

Pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kadar elaun bulanan SL1M dinaikkan kepada RM2,000 daripada RM1,500.

Pengumuman itu dibuat ketika Najib berucap merasmikan Perasmian Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Tengah 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang.

Katanya, ia hadiah kepada semua pelatih SL1M yang sedang dan bakal menyertai program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 9:22 AM