FOTO hiasan
FOTO hiasan
Safeek Affendy Razali


LELAKI diberkas selepas menceroboh Istana Bukit Serene, Johor Bahru apabila dipercayai cuba melarikan kereta Ferrari milik Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar, semalam.

Dalam kejadian itu, suspek, 31, berasal dari Gelang Patah, Johor dikesan menceroboh masuk ke kawasan istana melalui pintu pagar East Lodge, Jalan Straits View, pada 12.30 tengah hari.

Difahamkan, ketika itu terdapat seorang anggota Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) sedang mengawasi pintu pagar berkenaan, namun suspek yang memandu Proton Waja tidak berhenti dan terus masuk ke dalam istana.

Suspek yang turut memiliki beberapa rekod jenayah termasuk kes dadah kemudian dipercayai menuju ke garaj kereta istana berkenaan.

Semasa berada di garaj, salah seorang kakitangan istana terlihat kelibat suspek dalam keadaan mencurigakan masuk ke dalam kereta Ferrari warna biru sebelum segera menarik kunci kereta berkenaan.

Suspek kemudian berjalan ke keretanya sebelum melarikan diri dengan memecut melalui laluan sama di pagar East Logde.

Susulan itu, pihak polis yang menerima maklumat kejadian melakukan siasatan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Istana Bukit Serene, dan berjaya memberkas suspek, beberapa jam kemudian.

Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methapitamine.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Khader Mohd ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai motif sebenar suspek berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 7:56 PM