Wan Faizal Ismayatim

PASUKAN Polis Marin (PPM) Labuan menyelamatkan dua nelayan daripada lemas selepas bot dinaiki mereka hampir karam disyaki akibat mengalami kebocoran.

Kedua-dua nelayan terbabit, Abdul Runi, 41, dan anaknya, Mohd Azrul, 19, diselamatkan anggota daripada bot RH 19 PPM Labuan pada jam 4.10 petang di kedudukan 4.5 batu nautika dari barat laut Pulau Tiga.

Mereka diselamatkan hasil daripada koordinasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan susulan maklumat diterima mengenai bot terbabit yang mengalami kebocoran dan sedang karam pada 1.25 tengah hari.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, sejurus menerima laporan, operasi bantuan menyelamat diaktifkan dengan keluasan sektor pencarian merangkumi 10 batu nautika persegi.

Katanya, Kapal Maritim (KM) Memmon dari Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi terakhir yang dilaporkan pada jam lebih kurang 3 petang meliputi jarak pelayaran sejauh 37 batu nautika dari timur laut Pulau Labuan.

Mangsa yang masih dapat dihubungi telah dinasihatkan agar memakai jaket keselamatan sementara menunggu bantuan tiba.

"Usaha pencarian mangsa juga disertai sebuah bot daripada Taman-Taman Sabah Pulau Tiga dan bot RH 19 PPM.

"Kedua-dua nelayan berasal dari Kampung Numbak, Kota Kinabalu dipercayai belayar pada Sabtu

lalu menuju ke Pulau Mengalum sebelum mengalami kebocoran tengah hari tadi dan terpaksa membuat lencongan ke Pulau Tiga untuk mendapatkan bantuan.

"Mereka ditemui dalam keadaan keletihan dan dibawa ke Kuala Penyu untuk urusan lanjut," katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Mohd Zubil merakamkan terima kasih kepada PPM dan Taman-Taman Sabah atas bantuan aset untuk operasi berkenaan.

"Masyarakat diminta sentiasa melaporkan kepada pihak Maritim Malaysia sekiranya berdepan sebarang masalah di laut dengan menghubungi bilik operasi 24 jam Maritim Malaysia Labuan di talian 087-427999 atau MERS 999.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 10:00 PM