Rosliza Mohamed


PERAGUT berputih mata apabila berjaya ditahan selepas 10 minit meragut beg tangan seorang suri rumah di Ketereh, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 1.05 pagi itu, lelaki berusia 24 tahun ditahan sepasukan polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan dengan bantuan orang awam.

Mangsa berusia 63 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa sedang membantu suaminya mengemas peralatan muzik selepas tamat perlawanan sukan tomoi di padang sekolah rendah di Ketereh sebelum beg tangannya diragut dari belakang.

Mangsa kemudian menjerit meminta tolong, sebelum lelaki itu berjaya ditahan sepasukan polis yang sedang membuat ronda cegah jenayah.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Ibrahim Sharif ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Ujian saringan terhadap suspek juga negatif dadah dan mempunyai beberapa kesalahan rekod lampau kes dadah," katanya di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 2:51 PM