anggota  bomba memadamkan kebakaran di rumah teres dua tingkat, awal pagi semalam.
anggota bomba memadamkan kebakaran di rumah teres dua tingkat, awal pagi semalam.
Fazrik Kamarudin
am@hmetro.com.my


Kajang: Anak perempuannya berusia 13 tahun cedera di belakang badan selepas terjun dari tingkat dua dalam usaha menyelamatkan diri.

Manakala dia dan lima ahli keluarga lain menyelamatkan diri dengan terjun melalui tingkap dari rumah teres dua tingkat didiami mereka di Taman Cheras Prima, di sini, yang terbakar awal pagi semalam.

Itu nasib menimpa keluarga seorang lelaki berusia 49 tahun yang mengesyaki rumahnya dibakar individu tidak dikenali dalam kejadian jam 1.30 pagi semalam.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, kerana percaya kejadian itu mempunyai unsur khianat.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, dalam laporan itu lelaki berkenaan mendakwa rumahnya dibakar individu tidak dikenali.

Katanya, berdasarkan siasatan kejadian berlaku jam 1.30 pagi ketika mangsa tidur di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu.

“Dia tiba-tiba terhidu bau asap dan bangun melakukan pemeriksaan sebelum mendapati ruang tamu di tingkat bawah terbakar.

“Lelaki itu mengejutkan semua ahli keluarganya untuk menyelamatkan diri dan menghubungi bomba.

“Hasil siasatan di lokasi mendapati pintu rumah itu dikunci dari luar dengan mangga oleh suspek terbabit dan kenderaan miliknya jenis Nissan Frontier yang diletakkan di luar kawasan rumah diconteng menggunakan cat merah meminta hutang dibayar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Ahmad Dzaffir berkata, mangsa memaklumkan dia tidak mempunyai hutang dengan peminjam wang haram.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

Tujuh sekeluarga itu terselamat apabila sempat terjun melalui tingkap sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba di lokasi untuk memadamkan kebakaran.

Kebakaran memusnahkan 80 peratus bahagian bawah rumah teres dua tingkat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 6:27 AM