Shamsul Munir Safini


Bukit Mertajam: Polis menafikan video penderaan seorang wanita yang tular di media sosial sejak kelmarin adalah video kejadian sebenar amah Indonesia, Adelina Lisao, 26, yang maut didera majikannya 11 Februari lalu.

Video berdurasi lebih dua minit itu memaparkan aksi seorang wanita lingkungan umur 50-an membelasah dan memukul seorang wanita tidak dikenali menggunakan kayu.

Aksi itu dirakam individu tidak dikenali dari tingkat atas rumah atau kedai berdekatan lokasi kejadian.

Berdasarkan video itu juga, mangsa duduk di lantai sambil menangis manakala seorang wanita memukul dan memijaknya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, video itu bukan kejadian yang membabitkan Adelina tempoh hari dan menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan video itu kononnya ia adalah kejadian dera yang membabitkan amah terbabit.

NIK Ros Azhan
NIK Ros Azhan

“Jangan terlalu percaya dengan sebarang bentuk video atau gambar yang tersebar tanpa pengesahan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Adelina meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam minggu lalu, selepas diselamatkan dari rumah majikannya di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam dengan pelbagai kesan kecederaan teruk pada kepala, muka serta luka di kedua-dua tangan dan kaki.

Mangsa juga dikatakan dipaksa tidur di luar rumah bersama anjing.

Susulan kejadian itu, tiga beranak ditahan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 4:00 AM