ANGGOTA bomba mengeluarkan jari wanita yang tercucuk jarum mesin jahit di sebuah rumah di Jalan Bandar Baru Nilai 1/2E, Putra Point, Nilai, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba mengeluarkan jari wanita yang tercucuk jarum mesin jahit di sebuah rumah di Jalan Bandar Baru Nilai 1/2E, Putra Point, Nilai, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


WANITA berusia 33 tahun cedera apabila jari telunjuk kanannya tercucuk jarum mesin jahit di sebuah rumah di Jalan Bandar Baru Nilai 1/2E, Putra Point, Nilai, hari ini.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai Penguasa Bomba Kanan 11 Mohd Syazwan Saidy berkata, pada kejadian 3.15 petang, Zuriyati Meerangani sedang menjahit tempahan baju Melayu.

Katanya, tidak semena-mena jari telunjuk kanannya tercucuk jarum menyebabkan wanita itu menjerit kesakitan.

"Pada mulanya, rakan sekerja menyangkakan Zuriyati bergurau, namun selepas melihat mangsa menangis menahan kesakitan, mereka segera menghubungi bomba.

“Kami menerima panggilan 3.19 petang dan enam anggota dikejarkan ke lokasi sebelum tiba lima minit kemudian.

“Anggota mendapati jari telunjuk mangsa tersepit dan kami mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan jarinya,” katanya.

Mohd Syazwan berkata, anggotanya memberikan rawatan awal sebelum mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Nilai untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 8:45 PM