WAN Ahmad Uzir melakukan pemeriksaan terhadap pemandu kereta dalam operasi di Jalan Dato' Muda Linggi, Seremban, semalam. FOTO Iqmal Haqim Rosman
WAN Ahmad Uzir melakukan pemeriksaan terhadap pemandu kereta dalam operasi di Jalan Dato' Muda Linggi, Seremban, semalam. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Ifwan Tun Tuah


HAMPIR 1,000 kenderaan terutama kereta mewah dikesan menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) di Sabah dan Sarawak untuk menikmati harga lebih rendah mencecah RM20,000 berbanding di Semenanjung.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, kenderaan itu dikesan dalam Op Tiris yang dilancarkan 2 Januari lalu, susulan penyitaan kereta mewah milik jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, sehari sebelumnya.

"Dalam operasi selama 30 hari di seluruh negara, kita memberi tumpuan terhadap kenderaan yang mempunyai kapasiti enjin lebih 2,400cc dan hasilnya hampir 1,000 kenderaan didapati menggunakan LKM di luar kawasan pengisytiharan.

"Kebanyakan LKM digunakan dari Sabah dan Sarawak disebabkan bayaran yang dikenakan bagi kedua-dua negeri itu jauh lebih rendah berbanding Semenanjung," katanya pada sidang media ketika operasi bersepadu Penguatkuasaan Khas Sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2018 di Seremban, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah JPJ Negeri Sembilan Azrin Borhan.

Awal tahun ini, akhbar melaporkan JPJ menyita kereta mewah jenis Rolls Royce Ghost milik Aliff Syukri yang didaftarkan atas nama syarikatnya dalam Op Patuh di Kuala Lumpur kerana menggunakan LKM atau cukai jalan Sarawak, tetapi kenderaan itu digunakan di Semenanjung.

Menurutnya, semua pemilik kenderaan terbabit yang kebanyakannya kereta mewah dan lori berkapasiti enjin besar diberi Notis 114 atau panggilan temu siasat dan diarahkan menyelesaikan perbezaan bayaran LKM.

Menurutnya, siasatan mendapati ramai pemilik sengaja berbuat demikian untuk menikmati kadar LKM rendah, manakala selebihnya mendakwa tidak mengetahui perbezaan kerana tidak diberitahu oleh penjual ketika membeli kenderaan.

“Kenderaan terbabit biasanya dibeli di Sabah dan Sarawak sebelum dibawa ke Semenanjung, namun pemilik tidak mengisytiharkannya digunakan di kawasan baru, sebaliknya terus membayar LKM pada kadar lama.

“Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) di Sabah dan Sarawak, setiap urusan pembayaran LKM memerlukan kenderaan dibawa ke pejabat JPJ untuk pemeriksaan fizikal bagi mengelakkan kejadian seperti itu berlaku.

"Kita sedang mengkaji punca yang menyebabkan ada kenderaan 'terlepas' dan boleh memperbaharui LKM di negeri terbabit sedangkan ia digunakan di Semenanjung," katanya.

Terdahulu, Wan Ahmad Uzir berkata, sebanyak 4,380 kenderaan diperiksa dalam operasi bersepadu di seluruh Negeri Sembilan sepanjang tiga hari sehingga semalam, dengan 2,455 kesalahan dikesan dan 1,420 pemilik dikenakan tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 12:42 PM