SALABIAH mengusap kepala Zulkifli yang terlantar selepas diserang sawan di rumahnya di FELDA Purun.
SALABIAH mengusap kepala Zulkifli yang terlantar selepas diserang sawan di rumahnya di FELDA Purun.
Shahrinnahar Latib

Bera: Seorang lelaki menanggung derita terlantar tidak sedarkan diri di atas katil selepas tiba-tiba mengalami sawan dua bulan lalu.

Zulkifli Mastor, 36, sebelum itu pernah mengalami beberapa kemalangan dan terakhir pada Februari 2016, mengakibatkan dia tidak dapat bertindak dan berfikir dengan baik akibat gangguan pada saraf.

Menurut ibunya, Salabiah Yusuf, 69, dua bulan lalu anak ketiga daripada lima beradik itu secara tiba-tiba mengalami sawan dan tidak sedarkan diri malah kini terlantar seolah-olah koma.

“Dia seperti koma, tetapi kadang-kadang dia akan buka mata, tetapi tidak boleh bercakap dan menggerakkan anggota badan. Semuanya diuruskan oleh saya termasuk mandi, tukar lampin dan minum susu.

“Malah doktor turut menebuk leher anak supaya dia dapat bernafas ikut salur pernafasan disediakan sebab dia tidak boleh bernafas seperti orang biasa,” katanya di sini, semalam.

Salabiah yang tinggal di FELDA Purun berkata, setiap minggu, dia sekeluarga memerlukan RM200 untuk membelikan keperluan Zulkifli termasuk susu dan lampin pakai buang.

Sementara itu, abangnya, Majlan, 44, berkata, sebelum ini, adiknya turut diberikan cuti sakit berikutan kemalangan dialami hingga diberhentikan kerja pada Ogos 2016 selepas disahkan menghidap Depression Disorder with Psychosis oleh doktor klinik panel syarikat berkenaan.

“Sebelum terlantar, dia memang ada masalah ingatan malah untuk makan, minum atau mandi, kita perlu beritahu baru dia buat,” katanya.

Majlan berkata, dalam tempoh dua bulan Zulkifli terlantar, mereka baru menghantar permohonan tuntutan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO) dan memerlukan satu bulan untuk mendapatkan keputusan.

Katanya, mereka belum menemui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Kutipan Zakat Pahang (Zakat) atau mana-mana pihak berkaitan berikutan kekangan masa namun akan berusaha mendapatkan pembelaan untuk Zulkifli.

Justeru orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh terus ke akaun Maybank milik Salabiah Yusuf iaitu 156076044300 atau menghubungi talian 017-3247724.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 9:41 AM