DATUK Din Ahmad (kanan) bersama pasukan forensik membuat siasatan di lokasi kejadian kes tembak yang menyebabkan seorang lelaki berusia 45 tahun cedera di Jalan Sri Cemerlang. FOTO Zaman Huri Isa
DATUK Din Ahmad (kanan) bersama pasukan forensik membuat siasatan di lokasi kejadian kes tembak yang menyebabkan seorang lelaki berusia 45 tahun cedera di Jalan Sri Cemerlang. FOTO Zaman Huri Isa
Siti Nor Hidayatidayu Razali


LELAKI cedera di belakang badan dan lengan sebelah kiri selepas terkena satu das tembakan dalam kejadian di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 45 tahun didatangi dua lelaki berusia 20-an yang menaiki motosikal dan mahu menyamun Toyota Hilux milik mangsa.

Saksi kejadian yang enggan dikenali berusia 60-an berkata, ketika berada di restorannya yang terletak 20 meter, dia terdengar satu das tembakan.

Katanya, dia menyangka ada orang bermain mercun dan keluar untuk melihat kejadian.

"Ketika itu, saya lihat seorang lelaki cedera dan berdarah di belakang badan, berlari minta tolong sebelum pekerja saya membawanya ke hospital," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pada 1.40 tengah hari.

"Sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan hasil soal siasat mangsa yang berada di hospital mendapati satu das tembakan dilepaskan dari jarak dekat terkena di belakang badan yang menembusi ke lengan kiri mangsa.

"Mangsa dalam keadaan stabil memaklumkan dia didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal dan memakai topi keledar berpenutup penuh.

"Mangsa memberitahu, ketika dia turun dari Toyota Hilux untuk ke restoran berdekatan, dua lelaki mengekori dan meminta kunci kenderaan. Mangsa enggan menyerahkannya sebelum suspek melepaskan satu das tembakan," katanya.

Menurutnya, suspek melarikan diri dan tidak berjaya membawa lari kenderaan mangsa.

Katanya, mangsa berasal dari Perak dan berniaga barang runcit datang ke Kelantan untuk menghantar barangan itu kepada pembeli.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Kenderaan Toyota Hilux menjadi sasaran untuk dicuri kerana mendapat permintaan yang tinggi pada masa ini.

"Berdasarkan modus operandi, polis percaya suspek ada kaitan dengan kumpulan yang sama menyamun mangsa untuk mendapatkan kenderaan Toyota Hilux," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 6:54 PM