Kamarudin   (kanan)  memakaikan pangkat Pesuruhjaya RELA (Bersekutu) kepada Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles (tengah) pada  Majlis Pemakaian Pangkat Anggota Bersekutu RELA Perak dan Pulau Pinang di  Kompleks KDN Meru Raya, semalam.
Kamarudin (kanan) memakaikan pangkat Pesuruhjaya RELA (Bersekutu) kepada Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles (tengah) pada Majlis Pemakaian Pangkat Anggota Bersekutu RELA Perak dan Pulau Pinang di Kompleks KDN Meru Raya, semalam.
HM Digital

Ipoh: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) tidak pernah mengenakan bayaran kepada individu tertentu untuk mendapatkan pangkat kehormat.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) RELA, Kamarudin Mohd Rapig berkata, pihaknya mendapat laporan ada individu tertentu mengambil kesempatan menjual penganugerahan pangkat kehormat bersekutu demi keuntungan.

Katanya, bagi mendapatkan penganugerahan pangkat kehormat, individu berkenaan perlu melalui prosedur tertentu menerusi Pejabat RELA daerah sebelum dipertimbangkan menerima pangkat itu.

“Jabatan RELA sama sekali tidak terbabit dan tidak mengenakan bayaran untuk mendapatkan pangkat kehormat kerana segala-galanya adalah percuma.

“Bagaimanapun, bagi mendapatkan penganugerahan kehormat, ada prosedur perlu dilakukan termasuk mendapatkan borang di pejabat RELA daerah sebelum permohonan sampai ke peringkat atasan.

“Kami buat tapisan daripada segi keselamatan dengan menghantar nama ke beberapa agensi termasuk Jabatan Imigresen, JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) untuk memastikan individu berkenaan warganegara serta memastikan pemohon tiada rekod jenayah serta bergiat aktif (dalam aktiviti kemasyarakatan),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Pegawai Bersekutu RELA Negeri Perak di sini, semalam.

Kamarudin mengulas mengenai penjualan pangkat kehormat itu yang pernah ditimbulkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Mei tahun lalu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dilaporkan berkata, RELA mengesan individu tertentu menjual pangkat kehormat jabatan itu kepada individu yang mahu memberi khidmat kesukarelawan dalam RELA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 6:23 AM